Wednesday, October 7, 2009

UMNO mula mengganas di Bagan Pinang...


Markas Pemuda PAS diceroboh, petugas ditetak

BAGAN PINANG, 8 Okt: Lebih enam orang petugas Dewan Pemuda PAS (DPP) dipukul sekumpulan lelaki ketika sedang bertugas di beberapa tempat termasuk di markas induk DPP di Bagan Pinang.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, sekumpulan 20 lelaki bermotosikal dipercayai penyokong BN telah menyerbu dan menceroboh markas induk DPP dan menumbuk petugas yang berada di situ. Selain ditumbuk, pemuda PAS terbabit juga dihalau keluar meninggalkan markas itu. Turut difahamkan ramai lagi petugas PAS di pukul malah ada juga yang dikejar dengan parang hingga ke rumah.

Seorang Exco DPP, Suhaizan Kayat yang maklum berkenaan kejadian tersebut berkata, penyokong Umno BN terbabit tidak berpuas hati kerana mandakwa pemuda PAS telah menjatuhkan bendera dan kain rentang parti mereka. "Mereka tuduh kita jatuhkan bendera dan poster Umno BN. Mereka semua datang ke markas induk, terus tumbuk petugas kita bertubi tubi. Bayangkan dari luar mereka tumbuk sampai la ke dalam markas," ujar Suhaizan yang juga Ketua Penerangan DPP.

Kejadian sama juga berlaku di beberapa lagi markas pemuda yang lain, namun semua bukti dan maklumat lengkap sedang dikumpulkan.

Suhaizan juga kesal di atas kejadian itu menganggap penyokong Umno BN tersebut bertindak membelakangi undang-undang. "Sepatutnya kalau ada bukti, buat lah laporan Polis, bukannya datang serang macam ni," katanya. Ekoran kejadian tersebut, DDP telah mengarahkan semua pemuda di seluruh negeri datang ke Bagan Pinang hari ini bagi membantu gerak kerja kempen di sini. Satu taklimat khas kepada pemuda yang hadir akan di adakan malam ini di markas induk mereka.
"Kita arahkan semua pemuda seluruh negeri datang bantu kita di sini, kita bukan nak buat kacau, tapi kita nak berkawal untuk keselamatan," ujar Suhaizan lagi. Mereka juga yakin tindakan penyokong Umno tersebut sebgai terdesak dan cuba memerangkap pemuda PAS agar bertindak agresif bagi dijadikan modal kempen mereka.

"Kita yakin, ini satu provokasi dan perangkap mereka. Modus operandi sama sebelum ini diguna Abdul Azeez, tapi nampaknya tak berjaya. Jadi ini dia agenda mereka seterusnya," ujarnya lagi. Dalam perkembangan lain, seorang saksi mendakwa dia melihat kumpulan samseng tersebut menggunakan senjata semasa melakukan serangan di beberapa tempat lain. "Saya nampak mereka guna kayu, topi keledar, pedang dan senjata lain seperti besi semasa melakukan serangan," dakwa seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Selain mengoyakkan poster dan kain rentang PAS, samseng terbabit juga dikatakan turut memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik penyokong Pakatan. Berikutan itu DPP akan mengadakan satu sidang media tergempar dai Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, jam 11 pagi ini. Sidang media tersebut akan diketuai Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan dan Suhaizan sendiri.

Turut akan didedahkan dalam sidang media tersebut adalah berkaitan maklumat terbaru penyelewengan undi pos.

Monday, October 5, 2009

Pemimpin UMNO Lidah Bercabang....Jom ziarah Dato' Aziz.

Insiden pada hari penamaan calon terus menerobos ke benak pemikiran rakyat. Banyak yang bertanya saya kenapa penyokong PAS berkelakuan demikian. Mengganyang 2 tokoh berbadan sasa dalam UMNO sehingga Azeez jeneral Putera UMNO terpaksa mendekam di wad. Saya hairan kenapa Dato' Azeez tak melawan sedangkan badannya tak sekerdil calon yang diaraknya. Sekali ditempiknya saja orang pasti ganjak ke belakang. Tengok badannya saja sudah menakutkan, tengok mata lagi menggerunkan.... Apa lagi kalau tengok dia marah dan mengamuk pasti mengerikan.

Soalnya betul ke dia dipukul. Sehingga lebam-lebam pulak tu. Tengkok pun dah kena pasang penyenggal. Kata Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO, Dato' Azeez telah ditumbuk sembilan kali sehingga bengkak. Biarpun provokasi itu dicetuskan oleh penyokong PAS dan pada masa yang sama penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) pun ada yang hendak menerpa tetapi kita ini tertib, kita kata jangan.

Wahhh, sopannya dato'. Takkan dato' lupa perangai orang-orang dato' bahkan pemimpin-pemimpin kanan UMNO pun semua orang tau. Masing-masing ada fail. MBF katakan...

Lepas penamaan calon tu, orang nampak Azeez tu OK je.... Rasanya orang masih ingat kelibat dato' kat PRK Kuala Terengganu..... Kot ya pun nak berlakun biarlah real sikit.

Thursday, October 1, 2009

Menelusuri Warga Muslim Orang Asli & Kemarut Bagan Pinang


Dukacita sebaik menerima berita musibah daripada SUK PAS Kawasan Besut ekoran ribut yang memusnahkan sebahagian kediaman penduduk, saya masih bersama teman-teman seperjuangan yang lain berkubu di Bagan Pinang, Negeri Sembilan ekoran Pilihanraya Kecil yang akan diadakan pada 11 Oktober 2009.

Sebaik selesai berceramah di UPU Teluk Kemang bersama YDP PAS Kemaman dan Pengarah MTD Chukai merangkap Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu dan beberapa teman yang lain, saya bergegas ke Perkampungan Orang Asli, di Jelebu/Jempol bagi mewakili Muslim Care Malaysia (sebuah badan bukan kerajaan - NGO) yang akan meraikan saudara muslim dari kalangan orang asli. 30 keluarga muslim asli diraikan dengan penyampaian sumbangan hasil infak & derma warga muslim yang lain.

Ramai yang terkedu melihat bagaimana kehidupan mereka di tengah-tengah lebih 400 keluarga jiran sekampung mereka yang hidup tanpa sebarang pegangan agama. Mereka bertahan dengan kadar keupayaan masing-masing untuk terus menggalas cabaran aqidah yang semakin menggunung.

Alhamdulillah, berkat usaha dan sumbangan rakan-rakan di luar, mereka turut berkesempatan menikmati kemeriahan Syawal yang ada. Walaupun nun jauh di lubuh hati nurani mereka, hanya Allah yang tahu betapa gelombang jahiliah yang menghimpit setiap urat nadi mereka semata-mata untuk terus kekal bergelar muslim.

Apabila rombongan pimpinan PAS Kawasan Besut yang di ketuai oleh Tuan Haji Hassan Salleh (TYDP), Ustaz Nik Zawawi Salleh (Pengarah JPK), Ustaz Zulkifli Kadir (Ketua Pemuda), Nik Hassan Azmi dan lain-lain turun melawat, menziarahi dan berkongsi emosi dan perasaan penduduk yang ditimpa musibah beberapa hari yang lalu, saya terfikir itulah barangkali sentimental yang mewarnai setiap hari dalam kehidupan teman-teman kita di sini....

Yang pasti, situasi dan kondisi ini jauh berbeda dengan kehidupan masyarakat di Bagan Pinang sekarang. Satu-satunya penempatan masyarakat terkini yang akan dimamah ujian kebendaan dan janji-janji manis golongan oportunis. Apa lagi kedudukan dan lokalitinya yang bersebelahan dengan DUN yang baru mashyurkan dengan gelaran Port Dickson Bandar Tentera Darat.

Aku yakin dengan izin Allah suatu keajaiban lagi akan berlaku di sana.... Melimpasi angka 7 keajiban yang sedia tercipta...






Monday, September 14, 2009

Dr.M - Dihina, Dicela, Dicerca, Diperleceh & Dicarut Teman SeBN

Tiga tahun yang lalu, Dr Mahathir pernah merungut terhadap penghinaan dan sekatan Umno kepadanya.

"Ada yang panggil saya beruk, ada panggil iblis, ini budaya Umno yang baru".
Beliau juga berkata: "Yang itu (sekatan) lebih pelik, lebih menghina saya bahkan jadikan saya pariah dalam Umno. Saya bekas Presiden jadi pariah dalam Umno".

Demikianlah antara kata-kata yang ditujukan kepada Dr. M setelah beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sejarah bagaikan melupai jasa-jasanya. Tidakkah seawal pemergiannya ia ditangisi oleh rakan-rakannya? Tidakkah ramai yang mencium tangannya di saat dia bertakhta? Wujudkah keberanian golongan penderhaka di zamannya yang separti dengannya? Tidakkah situasi itu menggambarkan betapa sempurnanya Dr. M di kalangan warga UMNO khususnya dan BN amnya.

Namun kini keadaan sudah jauh berubah. Dr. M seolah-olah tiada nilai buat mereka. Dr. M semacam liability yang tidak tertanggung oleh mereka. BN seperti tidak memerlukan orang seperti Dr. M...

Beliau sempat beristerehat buat seketika. Tidak dihamun dan dicerca. Tiba-tiba bila seorang perwakilan berucap di persidangan agung MIC, muncul kembali keberanian perwakilan yang mencadangkan gambar Dr. M dikalungkan dengan selipar. Berdegar-degar suara kemarahannya bagai nak rak. Peluh dingin kembali membasahi Dr.M. Beliau dicarut lagi... Kini giliran anak-anak didik Samy Vellu.

Kemunculan pemimpin-pemimpin UMNO & BN yang marah terhadap MIC kembali memuncak. Macam-macam bahasa yang digunakan. Kasar, kesat dan penuh emosional.

UMNO lupa bahawa merekalah yang mengajar rakan-rakan komponen mereka menjadi kurang ajar terhadap Dr.M.... Mereka lupa bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO bertindak kurang ajar terhadap bekas presiden mereka. Apa yang jelas, itulah dia wajah sebenar UMNO.

Namun bila diamati, benarlah kata Dr.M bahawa melayu mudah lupa...

Dan secara peribadinya, saya fikir Dr. M perlu sentiasa bersedia dari sudut emosi dan perasaan, fizikal dan spiritual..... untuk apa?........ untuk terus dicarutkan lagi...

Thursday, September 10, 2009

Kehebatan Ahmad Said Dalam Gelora Politik Terengganu

Jarang berlaku dalam sejarah UMNO, seorang MB tidak dihormati oleh parti. Pernah berlaku bagaimana seorang Ketua Menteri dituduh dengan skandal yang mengaibkan, yang bukan sahaja memalukan dirinya tetapi menjatuhkan imej partinya ke tahap yang tidak dipandang oleh manusia. Namun partinya tetap menghormatinya. Biarpun beliau terpaksa bertapa buat seketika, namun kempen agresifnya telah menyenaraikan kembali dirinya bersama tokoh-tokoh lain yang 'dianggap bersih' di kerusi Majlis Tertinggi UMNO.
Berbeza benar sikap UMNO terhadap MB Terengganu yang dianggap kontroversi itu. Kontroversinya timbul kerana UMNO menciptanya. Semua orang tahu dia lahir dalam skima tarbiyah UMNO. Dia membentuk kehidupan peribadinya, personaliti dan imejnya, akhlak dan sahsiahnya sebijik apa yang dibentukkan kepadanya oleh UMNO. Dia bukan menderhaka kepada UMNO. Mungkin dia adalah sebahagian daripada insan yang berhasrat untuk sehidup dan semati dengan UMNO. Mungkin dia juga mahu biarlah bendera UMNO yang akan membaluti jasadnya kelak.

Kerenahnya sewaktu menghamburkan kata-kata kesat kepada YB Wakaf Mempelam tidak mungkin terpadam dari ingatan rakyat. Dia mencarut sakan dengan sokongan dan support yang kuat dari teman-teman exconya di zaman empayer pemerintahan Idris Jusoh sebagai MB. YB Rosul yang konfem tidak maksum itu jelas tersenyum gembira dengan hujahan bodoh YB Kijal sewaktu menghalakan amukannya ke arah tokoh muda PAS itu. Tidak cukup dengan sekadar kata-kata, ajakan bertumbuk menjadikan dia lebih popular berbanding exco-exco yang lain.

Kehebatan, keberanian dan komitmennya itulah barangkali meletakkan dia setaraf dengan tokoh-tokoh pemimpin besar UMNO Terengganu yang lain. Ya, dia setaraf dengan Dato' Seri Idris Jusoh dan setaraf dengan Tan Sri Wan Mohktar kerana dia mendaki prestasinya dengan wajah UMNO yang tulin. Yang pasti dia tidak setaraf dan tidak sama dengan Presiden PAS yang pernah dinobatkan sebagai MB Terengganu. Perbezaannya kerana ketua PAS itu berwajah seorang Qiadah yang lahir melalui skima tarbiyah yang jauh berbeza dengannya. Apapun dalam nilaian 'pihak atasan', mungkin dia lebih hebat dan gah jika dibandingkan dengan Idris Jusoh yang ditolak penyambungan kontraknya di Wisma Darul Iman.

Dia kini sedang memerhatikan secara teliti dan fokus untuk mengenalpasti siapa teman dan siapa musuhnya dalam DUN Terengganu yang separti dengannya. Dalam masa dia dihamun, disindir, diejek, dipersenda dan dipandang hina oleh rakan-rakan partinya, dia lebih cenderung untuk diam membisu. Dia tahu kekuatan yang ada pada dirinya dalam kedudukannya sebagai MB. Tabiat buruk dan keji YB-YB UMNO dalam persidangan DUN yang seringkali mencemarkan imejnya dan imej partinya lantaran kegagalan mereka untuk bertindak mewakili suara rakyat, sikap yang tidak responsif, malas menghadiri sidang dan tidak patriotik perlu disenaraihitamkan segera oleh MB bertaraf Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri itu yang diperlecehkan UMNO pimpinan Najib.

Jelas, dia seorang yang berperinsip. Biarpun perinsipnya kabur, sekabur wajah UMNO di mata rakyat, namun dia masih mampu bertahan. Membujur lalu melintang patah. Biar patah kaki dihinjak, namun hatinya tetap bersama rakyat. Di saat dirinya diserang dari segenap penjuru kehidupan, dia tabah mencari teman. Dia mula belajar kehidupan berpolitik ; musuh dan kawan tidak selamanya bertahan... Sekali air bah sekali pantai berubah. Bila berarak awan mendung, langit pasti akan kembali cerah.

Tidak sukar untuk dirinya memahat sejarah mencipta tamadun dalam karekter seorang pejuang rakyat kerana Allah Maha Berkuasa menjernihkan kekeruhan kelodak yang bergelora dengan siraman cahaya hidayatNya. Pastinya dia akan lebih dekat kepada Allah di saat dia menghampiri para ulamak...

Wednesday, September 9, 2009

Poluang Orang Nogoro Sombilan Ajar BN

Den pikir inilah masonya rakyat Nogori Sombilan robut poluang untuk ajar pomimpin-pomimpin BN supayo tau camno nak hormat kek rakyat. Udah sokian lamo kito mintak supayo moreko borubah, tapi nampak gayonya moreko dogil. Buek habih boreh jo...

Nah, sokaranglah masonyo yang rakyat tunggu untuk bosuaro. Bilo rakyat dah mulo bocakap dongan pensil kek koteh undi tu, bak kato popatah : tok dapet den nak nolong lai..

Harap bona den nak tengok macamano muko Najib eh, muko Muhyiddin, muko Mat Assan, muko Dato' Iso Samad. Pendek kato muko-muko ni lah yang membobankan rakyat jolato...

Jom kito bongkeh BN....

Domikian luahan raso daripado wakil masyarakat Jempul, saudara Zakaria Amat yang juga
Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Jempol

Tuesday, September 8, 2009

Menanti Kelibat Najib Di Bagan Pinang...

Selepas BN kalah teruk di sepanjang pilihanraya kecil di lapan kawasan samada kerusi DUN atau pun parlimen, kini mereka terpaksa sekali lagi berhadapan dengan penghakiman rakyat. Berkedudukan 8-1, BN pastinya akan turun untuk memperbaiki reputasi malang sepanjang tahun. Mengikut rekod yang ada, Najib jarang turun ke setiap PRK lantaran kebimbangan suara rakyat yang seringkali menghimpit kehadirannya dengan sapaan manja mereka.... Altan 2 Ya.

Namun, PRK Bagan Pinang ni mungkin berbeza daripada biasa. Bak kata adinda saya As Syeikh Wan Anuar Al Besuti, uniknya kali ini kerana angka 9 yang ada. Bayangkan ianya PRK ke 9, berlaku pada bulan 9, tahun 2009 dan berlaku di Negeri 9. Cuma harapannya, jangan ada sampai 9 orang calon udah....

Seperti yang dinyatakan, Najib mungkin beranggapan ianya kawasan selamat bagi BN. Menang dengan majoriti 2,333 pada PRU ke 12. Baru sekitar setahun setengah yang lalu. Tambahan pula Negeri Sembilan dianggap kubu BN yang selamat selepas Sabah, Sarawak dan Johor.

Namun ianya fakta sebelum PRU ke 12. Keadaannya sudah banyak berubah. BN bukan sahaja hilang banyak kerusi, bahkan mereka gagal menguasai 2/3 kerusi DUN. Lebih membimbangkan mereka lagi bila Pakatan Rakyat cuma memerlukan 3 kerusi sahaja lagi untuk memerintah. Ditambah dengan isu-isu yang muncul selepas PRU yang lalu yang banyak menyentuh soal hilangnya keyakinan rakyat terhadap kepimpinan BN.

Kemelut yang melanda BN bukan kecil. Krisis dalaman yang kini berada ditahap kritikal mampu menggoncang kedudukan BN. Bak kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustapha Ali kejatuhan kerajaan LDP yang berkuasa di Jepun selama 54 tahun membayangkan kebimbangan BN yang memerintah negara selama 52 tahun.

Lantas, BN dijangka akan memaksimamkan urusniaga mereka di Bagan Pinang. Apa lagi senjata sulit yang mereka ada setelah mereka tewas dalam setiap PRK yang lalu. Mereka bukan bertempur dengan rakyat secara semborono, tetapi mereka menggunakan setiap bacaan pergerakan rakyat untuk ditewaskan. Apakah penggunaan jentera kerajaan sudah ditahap maksimum ; sebut saja : polisnya, SBnya, FRUnya, SPRnya, SPRMnya, JPNnya, sesetengah muftinya, JKRnya, JKKnya, Muhyiddinnya, Hishamuddinnya, Zahidnya... semua sudah digunapakai.

Kini yang belum dicubapakai ialah Najib. Biasalah bos akan turun diakhir episod. Menyingsing lengan melambangkan lagak keberanian, bersuara garau dengan jutaan peruntukan, menawarkan penyatuan lambang One Malaysia, menyantuni golongan tua bagai nak terberak, mengancam seteru bagai nak rak...

Apa yang pasti... Kelibat Najib pasti melintas di Bagan Pinang. Namun kita saksikan nanti kelibat siapa yang akan membayanginya.... Dan siapakah yang akan setia mengekorinya....