Thursday, October 22, 2009

PAS Besut Kehilangan Seorang Ahli Yang Komited...


Al Fatihah Untuk Al Marhum Pak Su Wel.


PAS Besut kehilangan seorang lagi anggota yang komited dalam perjuangan apabila Ismail b. Deraman atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Wel telah kembali ke rahmatullah pada 19 Oktober 2009 di Wad ICU Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu, Kelantan dalam usia 73 tahun.

Beliau yang lahir pada tahun 1936, telah menetap di tanah kelahirannya di Alor Lintang, Besut Terengganu. Kehidupan bersama isterinya Khadijah binti Ali telah dianugerahkan 19 orang anak (9 lelaki, 10 perempuan), 51 cucu dan seorang cicit.

Sewaktu hayatnya, Pak Su Wel berjuang bersama bekas MB Terengganu yang pertama Daud Samad ( selepas Merdeka ). Malah pernah dilantik sebagai salah seorang daripada pegawal peribadi kepada MB. Lantas tidak hairanlah jika beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Pas Terengganu ( lama dan baru ) dari dulu sehingga akhir hayatnya.

Sebagai Aktivis Pas Besut dengan nombor keahlian 499, Pak Su Wel telah berjuang sejak PAS ditubuhkan. Beliau telah menjadikan rumahnya sebagai bilik gerakan setiap kali pilihan raya diadakan. Tanpa mengharapkan apa-apa habuan dan jawatan beliau sanggup berkorban tenaga dan harta benda demi perjuangan Islam.

Jika dipandang sekali imbas, tiada yang istimewa pada beliau. Tetapi beliaulah sebenarnya antara orang yang disegani kawan dan lawan. Seorang yang tidak pernah berganjak daripada perinsip kehidupannya. Seorang manusia biasa tetapi berjiwa merdeka.

Amat tepat sekali apabila beliau terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali pada 2006 semperna Hari Keluarga Pas Terengganu.

Semuga pemergian beliau akan membangkitkan keinsafan di setiap sanubari masyarakat khususnya ahli-ahli PAS dalam mengharungi liku-liku kehidupan seorang pejuang.

Bagi pihak PAS Kawasan Besut, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga almarhum, semuga dianugerahkan kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi saat-saat sukar seperti ini. Kita berdoa semuga Allah menempatkan almarhum bersama-sama para solehin di syurgaNya. Amin Ya Robbal ‘Alamin. Al Fatihah.

Salam takziah daripada:
HAJI WAN AZHAR WAN AHMAD
Yang DiPertua PAS Kawasan Besut