Saturday, July 11, 2009

Najib Ke Ijtima' Tabligh Sedunia Di Nilai, Negeri Sembilan


Najib Sepatutnya Keluar 3 Hari

Genap pemerintahannya 100 hari, Najib dilaporkan hadir ke Ijtima' Tabligh Sedunia yang diadakan bersebelahan Masjid Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan. Ijtimak tersebut pernah diadakan 27 tahun yang lalu di Terengganu. Dan seingat saya, saya adalah seorang daripada mereka yang turut hadir.

Memang tidak dapat dinafikan, usaha dakwah yang digerakkan oleh ahli jamaah tabligh menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembentukan akhlak dan amalan beragama di seluruh dunia khususnya dan Malaysia amnya. Mereka hidup dalam satu disiplin dan kalimah murni iaitu usaha atas agama Allah.

Mungkin ada pro dan kontra atas pendekatan mereka. Tapi mereka layak untuk turut menjalankan usaha atas agama kerana mereka terpaksa bersaing dengan kehidupan jahiliah yang mengepung kehidupan harian mereka. Mereka mengajak ke masjid dalam operasi 'Gash' dari rumah ke rumah. Kemudian mereka 'tashkil' untuk orang ramai turut serta keluar beberapa hari samada 40 hari atau sekurang-kurangnya 3 hari.

Samada mereka orang lama yang bergelar 'Karkun' atau isteri bertaraf 'Masturah' semuanya berusaha menjadi hamba yang baik. Usaha mereka tanpa upah, cuma mengharapkan ganjaran daripada Allah. Mereka mungkin tidak ada cita-cita yang tinggi cuma sekadar untuk beramal dan berbakti. Mereka tidak pernah menawarkan diri untuk mengambilalih kuasa kerajaan sebagaimana Sheikhul Arqam yang tidak berselindung dalam mewar-warkan kesediaanya.

Namun Arqam dan Tabligh kedua-duanya pernah diharamkan beroperasi dibeberapa buah negeri yang diperintah oleh kerajaan Hadhari.

Saya hairan bagaimana Fatwa pengharaman itu dibuat khususnya untuk pergerakan Jamaah Tabligh. Saya tidak mahu berpolemik dengan Arqam tetapi pelik bila tabligh turut diharamkan. Apalagi kuasa pemerintahan bukanlah cita-cita mereka. Mereka bukan suatu ancaman... tetapi mereka disenaraipendekkan sebagai 'pengancam'.

Seperti kematian, samada kita bercita-cita untuk syahid atau tidak, mati pasti akan berlaku. Maka sayugia cita-cita itu dinobat dan disematkan dalam dada setiap kita. Samada mereka bercita-cita untuk berkuasa bagi melaksanakan syariat Islam atau tidak ; yang pasti jamaah mereka pernah diharamkan. Alangkah baik jika cita-cita itu mula dipasang dan dinawaitukan...

Mereka perlu bergerak dengan meraikan waqi' pergerakan dakwah setempat. Mengambilkira jaringan dan matarantai pergerakan dakwah domestik dengan memanfaatkan sistem yang ada untuk menegakkan cita-cita Islam. Mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Membuka minda atas sifat keterbukaan sebagai pendakwah untuk menyongsong arus jahiliah yang tegak berasaskan kuasa, penipuan, rasuah dan manipulasi.

Jika kita boleh menerima usaha ini secara kolektif, membuka kaunter untuk mendaftar ahli yang melata di seluruh negara sebagai pemilih, mengundi bila tiba ketikanya dan memfatwakannya secara konkrit oleh ulamak-ulamak besar yang berkampung dan bermukim di Ijtima' tersebut, Insya Allah cita-cita Islam Memimpin Perubahan akan menjadi realiti setelah dipercepatkan oleh sumbangan bermakna ini. 'Deklarasi KLIA' perlu diistiharkan untuk kelangsungan dakwah.

Insya Allah berijtima' di bawah pemerintahan Islam akan lebih barokah. Rahmat Allah untuk kita semua. Semuga para ulamak besar dan dhuyuf yang menjangkau 100,000 orang itu akan turut berdoa dan bermunajat untuk kemenangan Islam sekurang-kurangnya untuk Manek Urai, Kelantan.

Silapnya Dato' Seri Najib kerana dia hanya datang untuk menyampaikan hasrat dan harapannya. Silapnya kerana dia tidak bersedia untuk mendengar taujihat ulama'. Silapnya dia kerana tidak bersungguh-sungguh untuk melakukan usaha pemurnian akhlak, fikrah, amalan dan pegangannya. Silapnya dia kerana fikir atas usaha agama tidak termasuk dalam KPI yang ingin dicapai...

Sememangnya dia terkepung dan terikat kuat dengan BN dan RM... Silapnya dia kerana tidak mengambil kesempatan untuk merakyat melalui pendekatan mudah cara tabligh .... sekurang-kurangnya keluarlah untuk 3 hari... bertaubat atas segala dosa-dosanya kepada Allah, Rasulullah dan rakyat yang dizalimi.

Sempena 100 tahun Najib Sebagai PM...

Selogan Najib : "1 Suara, 1 Impian, 1 Harapan, 1 Malaysia"


"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan," ...





Selogan Rakyat : 1 Tekad, 1 Keazaman, 1 Kebangkitan, 1 Pakatan




Kita serlahkan tekad dan keazaman rakyat melalui penolakan terhadap BN/UMNO dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan sebagai hadiah simbolik dan signal tegas dan keras rakyat untuk memanda Perdana Menteri, BN dan RM...

Thursday, July 9, 2009

TPM keliru istilah Syiar - Syariat...



KUALA KRAI 8 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pas supaya membuktikan semasa pilihan raya kecil Manik Urai bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam selama parti itu memerintah negara.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada Pas dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

"Kalau dilihat dalam Perlembagaan UMNO, salah satunya adalah untuk menegakkan syiar Islam," katanya ketika berucap kepada penduduk kawasan Manik Urai Lama pada hari ketiga kempen pilihan raya kecil Manik Urai di sini, malam ini.

Komentar : Kalau itulah kefahaman yang ada kepada TPM, sah dia juga keliru apabila mengungkapkan kalimah hadhari ala One Malaysia dalam kempen di Manek Urai : Undi UMNO Boleh Masuk Syurga... Ibarat seorang pencuri yang menyatakan tok guru juga tidak maksum dalam hujjah membela diri di kandang tertuduh. Muhyiddin, Muhyiddin...

Apakah Khir Toyo tak istihar harta !!!



Isu rumah agam Dr. Khir jadi perbahasan hangat
09/07/2009 5:10pm

SHAH ALAM 9 Julai — Sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini hangat dengan isu rumah agam bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang dikatakan bernilai RM24 juta.

Isu itu mula dibangkitkan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mempersoalkan kemampuan Dr. Mohamad Khir untuk memiliki dua lot tanah dan rumah agam itu.

Beliau secara sinis berkata, mungkin Dr. Mohamad Khir mempunyai begitu ramai pelanggan di klinik giginya di Kajang yang menjadi sumber pendapatan beliau semasa sebelum menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dr. Mohamad Khir menjawab, pendapatan daripada klinik giginya adalah tinggi kerana ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan mencabut gigi tetapi juga perkhidmatan kosmetik pergigian.

“Harga kos implan gigi adalah tinggi iaitu RM40,000 ke RM50,000 bagi satu implan gigi,” katanya memberikan contoh.

Wednesday, July 8, 2009

Mansuh PPSMI. Muhyiddin bohong atau Dr. M penipu....


BERITA (1) : Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

"Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut," kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir "menerima dengan baik" keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.

Timbalan perdana menteri menambah, beliau dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam.

"Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar.

"Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik," kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.

Beliau mengumumkan keputusan kabinet yang setuju memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012 dan memperkenalkan kembali bahasa Melayu, Cina dan Tamil di sekolah.

Menurutnya, penjelasannya kepada Dr Mahathir antaranya mengenai kemajuan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terbabit dengan dasar itu.

"Kita terangkan kepada Tun (Dr Mahathir) mengenai keupayaan guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris.

"Kita juga beritahu terdapat jurang yang besar di kalangan murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah bukan kebangsaan," katanya.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir telah mencadangkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.

"Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita.

"Insya Allah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu," kata Muhyiddin.

BERITA (2) : Pemansuhan PPSMI jejas masa depan anak-anak - Dr.M
08/07/2009 9:15pm


PUTRAJAYA 8 Julai — Pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjejas masa depan anak-anak, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mantan Perdana Menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan.

“Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran berkuatkuasa 2012 di sekolah-sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengumumkan bahawa berikutan keputussan itu, subjek sains dan matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia. - Bernama

Bubar Dun Atau Hartal Seluruh Perak


Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perak menyerahkan memorandum kepada kerajaan Zambry Abdul Kadir menggesa supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau hadapi hartal seluruh Perak.

Jawatankuasa itu memberi masa kepada Umno-BN sehingga 8 Ogos ini menggesa tampuk pemerintahan negeri ditentukan melalui pilihanraya atau hadapi mogok besar-besaran.

"Rakyat Perak tidak akan terbabit dalam apa-apa aktiviti luaran. Kita tidak akan ke tempat kerja, anak-anak kita tidak akan ke sekolah dan kita mahu tunjuk kepada BN bahawa majoriti rakyat Perak mahu keadilan dikembalikan," kata penyelaras R Mohanarani.

Kempen selama sebulan telahpun dilaksanakan oleh jawatankuasa terbabit bagi mendapatkan sokongan rakyat. Menurut Mohanarani, maklum-balas yang diterima adalah amat positif.

"Kita akan mendapatkan bantuan dari badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat untuk mobilisasi mogok satu hari ini," katanya.

"Kita menyebarkan risalah di pelbagai tempat awam untuk mendapatkan sokongan orang-ramai. Setakat ini maklum-balas yang diterima amat positif dan mereka masih kecewa dengan rampasan kuasa BN," tambahnya lagi.