Saturday, July 11, 2009
Najib Ke Ijtima' Tabligh Sedunia Di Nilai, Negeri Sembilan
Najib Sepatutnya Keluar 3 Hari
Genap pemerintahannya 100 hari, Najib dilaporkan hadir ke Ijtima' Tabligh Sedunia yang diadakan bersebelahan Masjid Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan. Ijtimak tersebut pernah diadakan 27 tahun yang lalu di Terengganu. Dan seingat saya, saya adalah seorang daripada mereka yang turut hadir.
Memang tidak dapat dinafikan, usaha dakwah yang digerakkan oleh ahli jamaah tabligh menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembentukan akhlak dan amalan beragama di seluruh dunia khususnya dan Malaysia amnya. Mereka hidup dalam satu disiplin dan kalimah murni iaitu usaha atas agama Allah.
Mungkin ada pro dan kontra atas pendekatan mereka. Tapi mereka layak untuk turut menjalankan usaha atas agama kerana mereka terpaksa bersaing dengan kehidupan jahiliah yang mengepung kehidupan harian mereka. Mereka mengajak ke masjid dalam operasi 'Gash' dari rumah ke rumah. Kemudian mereka 'tashkil' untuk orang ramai turut serta keluar beberapa hari samada 40 hari atau sekurang-kurangnya 3 hari.
Samada mereka orang lama yang bergelar 'Karkun' atau isteri bertaraf 'Masturah' semuanya berusaha menjadi hamba yang baik. Usaha mereka tanpa upah, cuma mengharapkan ganjaran daripada Allah. Mereka mungkin tidak ada cita-cita yang tinggi cuma sekadar untuk beramal dan berbakti. Mereka tidak pernah menawarkan diri untuk mengambilalih kuasa kerajaan sebagaimana Sheikhul Arqam yang tidak berselindung dalam mewar-warkan kesediaanya.
Namun Arqam dan Tabligh kedua-duanya pernah diharamkan beroperasi dibeberapa buah negeri yang diperintah oleh kerajaan Hadhari.
Saya hairan bagaimana Fatwa pengharaman itu dibuat khususnya untuk pergerakan Jamaah Tabligh. Saya tidak mahu berpolemik dengan Arqam tetapi pelik bila tabligh turut diharamkan. Apalagi kuasa pemerintahan bukanlah cita-cita mereka. Mereka bukan suatu ancaman... tetapi mereka disenaraipendekkan sebagai 'pengancam'.
Seperti kematian, samada kita bercita-cita untuk syahid atau tidak, mati pasti akan berlaku. Maka sayugia cita-cita itu dinobat dan disematkan dalam dada setiap kita. Samada mereka bercita-cita untuk berkuasa bagi melaksanakan syariat Islam atau tidak ; yang pasti jamaah mereka pernah diharamkan. Alangkah baik jika cita-cita itu mula dipasang dan dinawaitukan...
Mereka perlu bergerak dengan meraikan waqi' pergerakan dakwah setempat. Mengambilkira jaringan dan matarantai pergerakan dakwah domestik dengan memanfaatkan sistem yang ada untuk menegakkan cita-cita Islam. Mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Membuka minda atas sifat keterbukaan sebagai pendakwah untuk menyongsong arus jahiliah yang tegak berasaskan kuasa, penipuan, rasuah dan manipulasi.
Jika kita boleh menerima usaha ini secara kolektif, membuka kaunter untuk mendaftar ahli yang melata di seluruh negara sebagai pemilih, mengundi bila tiba ketikanya dan memfatwakannya secara konkrit oleh ulamak-ulamak besar yang berkampung dan bermukim di Ijtima' tersebut, Insya Allah cita-cita Islam Memimpin Perubahan akan menjadi realiti setelah dipercepatkan oleh sumbangan bermakna ini. 'Deklarasi KLIA' perlu diistiharkan untuk kelangsungan dakwah.
Insya Allah berijtima' di bawah pemerintahan Islam akan lebih barokah. Rahmat Allah untuk kita semua. Semuga para ulamak besar dan dhuyuf yang menjangkau 100,000 orang itu akan turut berdoa dan bermunajat untuk kemenangan Islam sekurang-kurangnya untuk Manek Urai, Kelantan.
Silapnya Dato' Seri Najib kerana dia hanya datang untuk menyampaikan hasrat dan harapannya. Silapnya kerana dia tidak bersedia untuk mendengar taujihat ulama'. Silapnya dia kerana tidak bersungguh-sungguh untuk melakukan usaha pemurnian akhlak, fikrah, amalan dan pegangannya. Silapnya dia kerana fikir atas usaha agama tidak termasuk dalam KPI yang ingin dicapai...
Sememangnya dia terkepung dan terikat kuat dengan BN dan RM... Silapnya dia kerana tidak mengambil kesempatan untuk merakyat melalui pendekatan mudah cara tabligh .... sekurang-kurangnya keluarlah untuk 3 hari... bertaubat atas segala dosa-dosanya kepada Allah, Rasulullah dan rakyat yang dizalimi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Blog tok maruk.....!
Post a Comment