Friday, April 23, 2010

Gerakan: JPM dan Rosmah dituntut beri penjelasan.


Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow menggesa agar Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor memberi penjelasan kepada umum berhubung perletakan jawatan Joshua Wong, selaku penerbit rancangan Editor's Time, ntv7.

Teng Chang Yeow (gambar kiri) berkata, ketika mengulas sebab dan kronologi perletakan jawatan dalam sidang media semalam, Joshua Wong telah mengaitkan tiga pihak, iaitu pihak atasan ntv7, JPM dan isteri PM Rosmah Mansor. Oleh itu, ketiga-tiga pihak ini harus memberi penjelasan kepada rakyat umum.

Demikianlah gesaan dalam kenyataan Teng Chang Yeow ketika mengulas isu perletakan jawatan Penerbit Buletin dan Isu Semasa ntv7, Joshua Wong semalam. Joshua tidak berpuas hati apabila pihak atasan ntv7 tunduk kepada aduan daripada JPM dan isteri PM Rosmah Mansor, menurutnya. 【Penerbit letak jawatan, dedah ntv7 menerima aduan Rosmah】

Teng Chang Yeow membantah sekeras-kerasnya campur tangan politik ke dalam media. Teng Chang Yeow, juga salah seorang panelis yang diundang ketika rancangan Editor's Time dirakamkan di Pulau Pinang, tampil ke depan untuk menyangkal tuduhan dalam "sms", bahawa rancangan ini berbau perkauman.

"Rancangan ini menyediakan satu platform supaya pihak pemerintah dan pembangkang boleh menyuarakan pandangan masing-masing. Saya menganggap rancangan ini sebagai satu rancangan yang kritis," katanya.

Sumber

Pindah pengundi...Agenda licik siapa?


Kalau ya SPR pindah hanya 10,000 pengundi sahaja, tapi kenapa ianya dibuat secara diam-diam sahaja. Perkara ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk. Jika SPR melakukan pemindahan pengundi ke pusat pengundian baru tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri dan tanpa diberitahu kepada calon yang bertanding, mungkin ada kekeliruan yang boleh timbul.

Apakah ada udang di sebalik batu atas tindakan SPR itu? Alih pusat pengundian pengundi, SPR kata nak senangkan pengundi keluar mengundi, tapi kenapa tidak diberitahu kepada pengundi.

Apakah ini lagi menyulitkan pengundi akan pusat pengundian mereka? Kenapa harus sekarang pemindahan itu dibuat? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan itu dilihat cubaan untuk memenangkan calon BN dalam PRK itu nanti?

Calon PR, Dato` Zaid Ibrahim pula berkata, ramai pengundi yang datang mendampingi beliau ketika berkempen dengan mengadu nama mereka telah dipindahkan dari senarai daftar mengundi.

"Ini satu perlanggaran hak asasi manusia", kata beliau.

"Dan, saya tidak hanya menyalahkan SPR atas masalah ini. Saya juga menyalahkan perdana menteri", kata beliau sambil mendesak suruhanjaya itu menjelaskan mengapa pengundi-pengundi ini dipindahkan ke pusat pengundian lain sedang mereka mengundi di kawasan lama pada 2008.

"SPR telah mengetepikan isu (yang dibawa Pakatan ini), malah SPR meminta agar kami tidak mempolitikkan isu ini", katanya.

Soal beliau, bagaimana SPR boleh melakukan perkara ini tanpa memaklumkan pengundi dan parti pembangkang.

"Adakah ini caranya kita menguruskan negara dan mengendalikan pilihan raya?", kata Zaid.

Senarai yang dikeluarkan PKR semalam menunjukkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, tiga pusat pengundian terlibat dalam pemindahan iaitu dari SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernama dengan pengundi seramai 33 orang, dari SMK Kalumpang ke Sekolah Rendah Agama Kalumpang (219) dan dari Sekolah Rendah Hulu Bernama ke SK Hulu Bernama (Ladang Ascot) (1,084).

Dalam pada itu, di DUN Kuala Kubu Baru juga melibatkan tiga pusat iaitu dari SRJK (Tamil) Kuala Kubu Baru ke SMK Datuk Hj Kamaruddin dengan 2,824 pengundi, dari SK Kerling dipindahkan ke SJKT (Tamil) Ladang Kerling (39) dan dari Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Empat pusat terlibat dalam DUN Batang Kali iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (Cina) Serendah (752), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Serendah (1,898), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke SK Serendah (905) dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,266).

Menurut senarai itu pusat mengundi baru yang diwujudkan ialah Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya yang menempatkan 1,350 pengundi dari SK Taman Bunga Raya, SK Bukit Beruntung (589) dan SJK (Tamil) Sungai Choh Taman Bunga (304).

Seramai 233 pengundi dari SK Sungai Choh dalam daerah mengundi Kampung Tanjung telah dipindahkan ke bahagian Parlimen Selayang.

Tuesday, April 20, 2010

Pengalaman bekerja dengan Datuk Zaid

Merujuk kepada perkara diatas, saya pernah bekerja dengan Datuk Zaid di Yayasan Pemulihan Orang Cacat Kelantan (YPOCK) pada tahun 2000 - 2001.

Sekarang saya dengar nama Yayasan itu telah bertukar. Semasa itu saya adalah Ahli Fisioterapi yang di gajikan oleh Datuk Zaid untuk merawat kes-kes seperti 'Down Syndrome', 'Cerebral Palsy ', 'Hemiplegia', 'Poliomyelitis' dan lain-lain.

Antara tugasan saya ialah mendaftarkan semua orang cacat tidak kira cacat anggota, pekak dan bisu, buta dan membantu mereka untuk didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk membantu mereka ini kami menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah mereka (berserta dengan pembantu untuk mengangkat/memimpin/menyediakan kerusi roda) ke pejabat JKM dan seterusnya dari JKM pulang ke rumah mereka tanpa sebarang bayaran.

YPOCK juga mempunyai rekod semua klien dari segi butiran peribadi dan status kewangan mereka. Saya masih ingat menerima arahan dari Datin Suliana (isteri Datuk Zaid) untuk menyampaikan wang zakat dan derma untuk klien YPOCK yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian zakat dan derma yang di sempurnakan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Saya beserta warga kerja YPOCK yang lain seperti En Ishak, Kak Bibah, Hazizul (dan lain-lain yang saya tidak dapat ingat nama mereka) pergi kerumah klien YPOCK untuk menyampaikan derma dan zakat, bukan sahaja di Kota Bahru, adakalanya sampai ke jajahan Tumpat.

YPOCK semasa itu merupakan payung kepada semua persatuan orang cacat lain di Kelantan. Banyak aktiviti dilakukan di bangunan YPOCK. Antaranya kelas komputer untuk orang-orang cacat, latihan angkat berat dan jasmani untuk atlet OKU yang akan mewakili Kelantan di Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Aktiviti teras YPOCK adalah untuk memberi rawatan fisioterapi kepada klien yang berdaftar dengan Yayasan. YPOCK mempunyai peralatan yang mencukupi untuk merawat klien. Ini termasuk 'horse riding therapy' untuk kanak-kanak 'Cerebral Palsy ' yang tiada keseimbangan badan. Rawatan ini diberikan di 'horse farm' di belakang bangunan YPOCK.

Sebenarnya rawatan jenis ini pun tiada di hospital kerajaan. Alangkah bertuahnya klien YPOCK kerana semua rawatan diberi secara percuma. Yang tiada kemudahan pengangkutan juga diberi kemudahan pengangkutan secara percuma.

Apa yang saya dedahkan diatas adalah benar belaka. Bangunan YPOCK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu dirasmikan oleh Tun Abdullah Badawi sekitar tahun 1999. YPOCK pernah menerima Lawatan dari Tun Siti Hasmah (isteri Tun Dr Mahathir) dan Datuk Dr Siti Zaharah, mantan Menteri Kebajikan Masyarakat.

Apa yang saya nyatakan bukan untuk kempen Datuk Zaid tetapi menyatakan kebenaran apa yang Datuk Zaid pernah lakukan untuk masyarakat cacat yang mana lapisan masyarakat ini pada hakikatnya selalu dipinggirkan dan dipandang hina.

Lihat sahaja bagaimana P.Ramlee pernah menggambarkan penghinaan pada OKU dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'. Tetapi Datuk Zaid telah mencurahkan bakti ini bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor malah telah melakukanya lebih dari 10 tahun yang lalu.

Saya sedih dengan serangan peribadi yang memburukan Datuk Zaid. Tetapi lupakah kita bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun? Semuga Allah SWT mengampunkan kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Mohamed Nor bin Salim
Perunding Fisioterapi YPOCK 2001

surat pembaca
harakahdaily