Friday, April 23, 2010

Pindah pengundi...Agenda licik siapa?


Kalau ya SPR pindah hanya 10,000 pengundi sahaja, tapi kenapa ianya dibuat secara diam-diam sahaja. Perkara ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk. Jika SPR melakukan pemindahan pengundi ke pusat pengundian baru tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri dan tanpa diberitahu kepada calon yang bertanding, mungkin ada kekeliruan yang boleh timbul.

Apakah ada udang di sebalik batu atas tindakan SPR itu? Alih pusat pengundian pengundi, SPR kata nak senangkan pengundi keluar mengundi, tapi kenapa tidak diberitahu kepada pengundi.

Apakah ini lagi menyulitkan pengundi akan pusat pengundian mereka? Kenapa harus sekarang pemindahan itu dibuat? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan itu dilihat cubaan untuk memenangkan calon BN dalam PRK itu nanti?

Calon PR, Dato` Zaid Ibrahim pula berkata, ramai pengundi yang datang mendampingi beliau ketika berkempen dengan mengadu nama mereka telah dipindahkan dari senarai daftar mengundi.

"Ini satu perlanggaran hak asasi manusia", kata beliau.

"Dan, saya tidak hanya menyalahkan SPR atas masalah ini. Saya juga menyalahkan perdana menteri", kata beliau sambil mendesak suruhanjaya itu menjelaskan mengapa pengundi-pengundi ini dipindahkan ke pusat pengundian lain sedang mereka mengundi di kawasan lama pada 2008.

"SPR telah mengetepikan isu (yang dibawa Pakatan ini), malah SPR meminta agar kami tidak mempolitikkan isu ini", katanya.

Soal beliau, bagaimana SPR boleh melakukan perkara ini tanpa memaklumkan pengundi dan parti pembangkang.

"Adakah ini caranya kita menguruskan negara dan mengendalikan pilihan raya?", kata Zaid.

Senarai yang dikeluarkan PKR semalam menunjukkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, tiga pusat pengundian terlibat dalam pemindahan iaitu dari SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernama dengan pengundi seramai 33 orang, dari SMK Kalumpang ke Sekolah Rendah Agama Kalumpang (219) dan dari Sekolah Rendah Hulu Bernama ke SK Hulu Bernama (Ladang Ascot) (1,084).

Dalam pada itu, di DUN Kuala Kubu Baru juga melibatkan tiga pusat iaitu dari SRJK (Tamil) Kuala Kubu Baru ke SMK Datuk Hj Kamaruddin dengan 2,824 pengundi, dari SK Kerling dipindahkan ke SJKT (Tamil) Ladang Kerling (39) dan dari Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Empat pusat terlibat dalam DUN Batang Kali iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (Cina) Serendah (752), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Serendah (1,898), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke SK Serendah (905) dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,266).

Menurut senarai itu pusat mengundi baru yang diwujudkan ialah Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya yang menempatkan 1,350 pengundi dari SK Taman Bunga Raya, SK Bukit Beruntung (589) dan SJK (Tamil) Sungai Choh Taman Bunga (304).

Seramai 233 pengundi dari SK Sungai Choh dalam daerah mengundi Kampung Tanjung telah dipindahkan ke bahagian Parlimen Selayang.

No comments: