Showing posts with label Prk. Show all posts
Showing posts with label Prk. Show all posts

Friday, April 23, 2010

Pindah pengundi...Agenda licik siapa?


Kalau ya SPR pindah hanya 10,000 pengundi sahaja, tapi kenapa ianya dibuat secara diam-diam sahaja. Perkara ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk. Jika SPR melakukan pemindahan pengundi ke pusat pengundian baru tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri dan tanpa diberitahu kepada calon yang bertanding, mungkin ada kekeliruan yang boleh timbul.

Apakah ada udang di sebalik batu atas tindakan SPR itu? Alih pusat pengundian pengundi, SPR kata nak senangkan pengundi keluar mengundi, tapi kenapa tidak diberitahu kepada pengundi.

Apakah ini lagi menyulitkan pengundi akan pusat pengundian mereka? Kenapa harus sekarang pemindahan itu dibuat? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan itu dilihat cubaan untuk memenangkan calon BN dalam PRK itu nanti?

Calon PR, Dato` Zaid Ibrahim pula berkata, ramai pengundi yang datang mendampingi beliau ketika berkempen dengan mengadu nama mereka telah dipindahkan dari senarai daftar mengundi.

"Ini satu perlanggaran hak asasi manusia", kata beliau.

"Dan, saya tidak hanya menyalahkan SPR atas masalah ini. Saya juga menyalahkan perdana menteri", kata beliau sambil mendesak suruhanjaya itu menjelaskan mengapa pengundi-pengundi ini dipindahkan ke pusat pengundian lain sedang mereka mengundi di kawasan lama pada 2008.

"SPR telah mengetepikan isu (yang dibawa Pakatan ini), malah SPR meminta agar kami tidak mempolitikkan isu ini", katanya.

Soal beliau, bagaimana SPR boleh melakukan perkara ini tanpa memaklumkan pengundi dan parti pembangkang.

"Adakah ini caranya kita menguruskan negara dan mengendalikan pilihan raya?", kata Zaid.

Senarai yang dikeluarkan PKR semalam menunjukkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, tiga pusat pengundian terlibat dalam pemindahan iaitu dari SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernama dengan pengundi seramai 33 orang, dari SMK Kalumpang ke Sekolah Rendah Agama Kalumpang (219) dan dari Sekolah Rendah Hulu Bernama ke SK Hulu Bernama (Ladang Ascot) (1,084).

Dalam pada itu, di DUN Kuala Kubu Baru juga melibatkan tiga pusat iaitu dari SRJK (Tamil) Kuala Kubu Baru ke SMK Datuk Hj Kamaruddin dengan 2,824 pengundi, dari SK Kerling dipindahkan ke SJKT (Tamil) Ladang Kerling (39) dan dari Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Empat pusat terlibat dalam DUN Batang Kali iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (Cina) Serendah (752), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Serendah (1,898), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke SK Serendah (905) dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,266).

Menurut senarai itu pusat mengundi baru yang diwujudkan ialah Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya yang menempatkan 1,350 pengundi dari SK Taman Bunga Raya, SK Bukit Beruntung (589) dan SJK (Tamil) Sungai Choh Taman Bunga (304).

Seramai 233 pengundi dari SK Sungai Choh dalam daerah mengundi Kampung Tanjung telah dipindahkan ke bahagian Parlimen Selayang.

Tuesday, April 20, 2010

Pengalaman bekerja dengan Datuk Zaid

Merujuk kepada perkara diatas, saya pernah bekerja dengan Datuk Zaid di Yayasan Pemulihan Orang Cacat Kelantan (YPOCK) pada tahun 2000 - 2001.

Sekarang saya dengar nama Yayasan itu telah bertukar. Semasa itu saya adalah Ahli Fisioterapi yang di gajikan oleh Datuk Zaid untuk merawat kes-kes seperti 'Down Syndrome', 'Cerebral Palsy ', 'Hemiplegia', 'Poliomyelitis' dan lain-lain.

Antara tugasan saya ialah mendaftarkan semua orang cacat tidak kira cacat anggota, pekak dan bisu, buta dan membantu mereka untuk didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk membantu mereka ini kami menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah mereka (berserta dengan pembantu untuk mengangkat/memimpin/menyediakan kerusi roda) ke pejabat JKM dan seterusnya dari JKM pulang ke rumah mereka tanpa sebarang bayaran.

YPOCK juga mempunyai rekod semua klien dari segi butiran peribadi dan status kewangan mereka. Saya masih ingat menerima arahan dari Datin Suliana (isteri Datuk Zaid) untuk menyampaikan wang zakat dan derma untuk klien YPOCK yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian zakat dan derma yang di sempurnakan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Saya beserta warga kerja YPOCK yang lain seperti En Ishak, Kak Bibah, Hazizul (dan lain-lain yang saya tidak dapat ingat nama mereka) pergi kerumah klien YPOCK untuk menyampaikan derma dan zakat, bukan sahaja di Kota Bahru, adakalanya sampai ke jajahan Tumpat.

YPOCK semasa itu merupakan payung kepada semua persatuan orang cacat lain di Kelantan. Banyak aktiviti dilakukan di bangunan YPOCK. Antaranya kelas komputer untuk orang-orang cacat, latihan angkat berat dan jasmani untuk atlet OKU yang akan mewakili Kelantan di Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Aktiviti teras YPOCK adalah untuk memberi rawatan fisioterapi kepada klien yang berdaftar dengan Yayasan. YPOCK mempunyai peralatan yang mencukupi untuk merawat klien. Ini termasuk 'horse riding therapy' untuk kanak-kanak 'Cerebral Palsy ' yang tiada keseimbangan badan. Rawatan ini diberikan di 'horse farm' di belakang bangunan YPOCK.

Sebenarnya rawatan jenis ini pun tiada di hospital kerajaan. Alangkah bertuahnya klien YPOCK kerana semua rawatan diberi secara percuma. Yang tiada kemudahan pengangkutan juga diberi kemudahan pengangkutan secara percuma.

Apa yang saya dedahkan diatas adalah benar belaka. Bangunan YPOCK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu dirasmikan oleh Tun Abdullah Badawi sekitar tahun 1999. YPOCK pernah menerima Lawatan dari Tun Siti Hasmah (isteri Tun Dr Mahathir) dan Datuk Dr Siti Zaharah, mantan Menteri Kebajikan Masyarakat.

Apa yang saya nyatakan bukan untuk kempen Datuk Zaid tetapi menyatakan kebenaran apa yang Datuk Zaid pernah lakukan untuk masyarakat cacat yang mana lapisan masyarakat ini pada hakikatnya selalu dipinggirkan dan dipandang hina.

Lihat sahaja bagaimana P.Ramlee pernah menggambarkan penghinaan pada OKU dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'. Tetapi Datuk Zaid telah mencurahkan bakti ini bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor malah telah melakukanya lebih dari 10 tahun yang lalu.

Saya sedih dengan serangan peribadi yang memburukan Datuk Zaid. Tetapi lupakah kita bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun? Semuga Allah SWT mengampunkan kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Mohamed Nor bin Salim
Perunding Fisioterapi YPOCK 2001

surat pembaca
harakahdaily

Tuesday, April 13, 2010

Anwar: Zaid seorang istimewa..

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim (gambar) sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu keputusan tepat kerana beliau “seorang yang istimewa.”

“Zaid adalah seorang yang istimewa kerana belum ada dalam sejarah negara seorang menteri sanggup berhenti kerana hendak pertahankan hak rakyat,” kata Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat malam tadi.

“Zaid ini degil pertahankan prinsip... beliau tidak boleh terima bila kerajaan guna undang-undang rakus tindas rakyat. Beliau kata ‘enough is enough, here’s my resignation letter’.

“Hari dia letak jawatan hari yang sama juga saya adakan pertemuan sulit dengan dia.

“Saya kagum beliau tunjuk semangat korban untuk rakyat,” kata Anwar ketika mengumumkan Zaid sebagai calon PKR di hadapan lebih 5,000 penyokong di Dewan Serbaguna Serendah.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Zaid mampu memberi khidmat jauh lebih baik kepada rakyat khususnya di Hulu Selangor.

“Beliau (Zaid) ada beritahu sama ada dipilih atau tidak beliau tetap akan berkempen untuk parti.

“Beliau adalah seorang peguam dan sudah 30 tahun menetap di Selangor, jadi semua masalah yang dihadapi rakyat beliau tahu.

“Jadi saya pasti beliau akan memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Zaid, 59, merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

“Selain itu, bila Umno mengetahui kita akan calonkan Zaid mereka adakan mesyuarat tergempar petang tadi.

“Saya tidak kira Palanivel atau orang lain yang akan menjadi calon Umno-BN, yang penting kita akan pertahankan semangat juang untuk membawa perubahan.

“Zaid akan mewakili semua masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asal di Hulu Selangor,” kata Anwar memperkenalkan Zaid.

Turut hadir Majlis Pengumuman Calon Pakatan Rakyat ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Zaid dalam ucapan sulungnya selepas diumumkan sebagai calon PR berkata, beliau amat memahami masalah yang dihadapi rakyat Selangor.

“Saya bersyukur diberi kepercayaan menjadi calon bagi PR dan saya terharu kerana saya tahu saya ahli parti yang baru tetapi inilah pengorbanan kawan-kawan di Hulu Selangor, kepimpinan PR Selangor dan pucuk pimpinan PKR yang beri peluang kepada saya.

“Saya rakamkan penghargaan kepada mereka dan saya terima amanah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan.

“Beban yang dipikul oleh pimpinan adalah berat saya mahu sama-sama pikul beban itu supaya kerajaan yang zalim ini kita atasi.

Tambahnya, beliau bukan orang luar kerana sudah bermastautin lama di Selangor dan tahu masalah yang dihadapi penduduk Selangor dan Hulu Selangor.

“Negara kita kaya tapi kerana tamak tidak cukup untuk rakyat. Dengan sokongan rakyat saya boleh jadi suara di Hulu Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh pula menyifatkan Zaid adalah calon terbaik untuk pilihan raya kecil ini.

“Walaupun ramai calon yang berkebolehan dan berbakat, kami akan mencalonkan apa yang terbaik untuk rakyat dan Zaid merupakan pilihan terbaik kami,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

“Keputusan memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon pilihan raya kecil ini adalah sebulat suara dari PKR,” kata Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor.

Rodziah juga berkata, PKR amat yakin yang pilihan raya kecil ini dimenangi mereka.

“Kami ada mendengar keluhan rakyat yang sepanjang pentadbiran BN , tiada perubahan yang dilakukan.

“Jadi, kami yakin PKR bukan sahaja memperjuangkan hak untuk satu kaum, tetapi untuk setiap penduduk di sini tanpa melihat bangsa dan kulit,” katanya.

Monday, April 5, 2010

BN buli rakyat Hulu Selangor


1. Pilihanraya kecil di negara kita terus menjadi pentas UMNO dan BN menabur gula - gula guna memperbodoh dan mempersendakan rakyat sendiri . Saya tidak tahu bagaimana rakyat atau masyarakat yang bertamaddun hari ini boleh menerima tindakan UMNO dan BN .

2. Kesempatan saya menonton berita Awani semalam cukup memualkan apabila Perdana Menteri secara spontan dengan senyuman melirik sinis ke arah audien yang terdiri dari masyarakat India di Hulu Selangor menghamburkan gula - gula pilihanrayanya .

3. " Hendak apa lagi ? taman permainan , balairaya , kuil ? kuil dah ada ke belum ? hah .. kuil dan banyak lagi ... tapi saya mahu tengok kamu semua sokong BN ......" begitulah lebih kurang bahasa Perdana Menteri dalam pertemuan beliau dengan masyarakat India di Hulu Selangor , disambut dengan tawa gaya mempersenda oleh beberapa menteri yang turut hadhir .

3. Saya sendiri rasa cukup terhina dengan cara Perdana Menteri berkempen . Seolah - olah masyarakat India di Hulu Selangor berada dalam kebuluran .

4. Tidaklah salah untuk memberi .... tetapi jika dilihat kepada cara UMNO dan BN memberi .... kepada masyarakat India di Hulu Selangor jelas kelihatan seperti mempersenda dan memperbodohkan kaum itu . Tidak kurang juga Timbalan Perdana Menteri yang menjanjikan :

* 4 buah sekolah baru bagi Parlimen Hulu Selangor
* RM 2 juta bagi mengatasi masaalah banjir di kg Sentosa batang Kali
* Meluluskan RM 100 kepada pihak Masjid al Sajdin di Kampung itu .

5. Persoalannya kenapa projek jutaan ringgit ini sering dijanjikan pada musim pilihanraya . Saya yakin jika tiada pilihanraya maka tiada menteri yang tergamak menabur janji seperti itu . Sudahlah janji - janji lama seperti di Bagan Pinang dan Manek Urai belum terlangsai , kini UMNO dan BN kembali semula dengan janji yang cukup manis . Alangkah diselesaikan dahulu jambatan yang mahu dibina di Manek Urai dan Bandar Tentera yang penuh dengan kemudahan WiFi di Bagan Pinang .

6. Parlimen Hulu Selangor menyaksikan 3 DUN di bawahnya adalah dimenangi oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu . Kenapa UMNO dan BN tidak melaksanakan sahaja segala projek dan peruntukan yang dijanjikan itu sebelum ini ?

7. Tawaran Projek perumahan RM 32 juta oleh Perdana Menteri jika masyarakat peneroka Felda mengundi UMNO dan BN juga sebahagian daripada manipulasi pilihanraya untuk terus memerangkap rakyat agar kekal menjadi bodoh dan terpedaya dengan segala politik murahan mereka . Alangkah manis jika Perdana Menteri memberi perhatian kepada peneroka Felda di negeri kelahiran beliau sendiri yang masih memerlukan banyak peruntukan untuk menaik taraf kehidupan peneroka Felda dan generasi kedua Felda setelah mereka membanting tulang separuh usia mereka untuk Felda .

8. Saya sekali lagi yakin rakyat tidak mudah terpesona dan terpedaya terutama peneroka Felda yang kini rata - ratanya telah mula menghidu penyelewengan Felda juga kerajaan UMNO dan BN ke atas peneroka . Tidak ada sebab peneroka Felda seperti Felda Soeharto merelakan diri mereka diperangkap oleh UMNO dan BN dengan projek pembinaan rumah 250 unit sebagaimana yang diumumkan kerana ia hanyalah rumah untuk dijual [ bukan diberi percuma ] kepada peneroka .

Rumah kos rendah dengan harga RM 42,000 [harga pokok tidak termasuk kadar faedah]
Rumah kos sederhana dengan harga RM 75,000 [juga tidak termasuk kadar faedah]

Jika dihitung nilai dengan kiraan tempoh pinjaman selama 20 hingga 30 tahun , harganya adalah dibaca pada nilaian RM 100 - 120 ribu .

9. Lebih baik dan bermaruah jika kerajaan UMNO dan BN memulangkan semula hak 25000 peneroka Felda yang dinafikan sebelum ini berhubung dengan wang simpanan untuk Tanam Semula sebanyak RM 425 juta yang telahpun diarah bayar oleh mahkamah. Kerajaan UMNO dan BN tidak perlulah berlakon untuk acara pecah tanah membina 250 unit perumahan baru di Felda Soeharto .

10. Isu peruntukan rumah kediaman buat generasi kedua peneroka Felda masih belum selesai , juga isu tanah lebihan di kawasan Felda belum dapat ditangani dengan baik malah banyak lagi projek perumahan dan setinggan yang belum diselesaikan secara bijak oleh Kerajaan UMNO dan BN , tiba - tiba hari ini mereka menabur janji baru bernilai jutaan ringgit kepada pengundi Hulu Selangor .... saya harap pengundi nilailah sejujurnya sikap dan sandiwara UMNO dan BN lalu sedarkan mereka dengan menyentap segala kuasa yang menjadi punca mereka angkuh dan sombong lalu membuli rakyat marhaen .

Ustaz Nasaharudin Tantawi