Saturday, April 3, 2010

Setahun sebagai PM, Najib belum mengotakan janjinya - Tun Mahathir


HARI ini genap setahun Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri keenam Malaysia selepas menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April tahun lalu.

Secara kebetulan, peristiwa itu berlaku tiga bulan selepas Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat.

Pelantikan dua pemimpin itu menjanjikan harapan baru kepada warga negara masing-masing setelah mereka terpaksa menjalani tempoh kehampaan pemimpin sebelumnya.

Sedang Obama mencipta sejarah dengan rombakan radikalnya ke atas dasar penjagaan kesihatan Amerika baru-baru ini, bagaimana pula prestasi Datuk Seri Najib dalam mencorak perubahan di Malaysia sepanjang setahun yang lalu?

Sudah pasti soalan ini mengundang pandangan berbeza di kalangan pemerhati politik.

Apabila diminta mengulas prestasi tahun pertama Datuk Seri Najib, mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar kanan), berkata: 'Satu tahun belum cukup (untuk membuat penilaian). Sebenarnya, dia baru belajar menjadi perdana menteri.'

Namun, Dr Mahathir mengingatkan bahawa Datuk Seri Najib belum mengotakan janjinya sejauh ini, dan menggesa beliau supaya segera melaksana pembaharuan yang dijanjikan, walaupun beliau akur Datuk Seri Najib adalah 'pemimpin lebih baik' berbanding pemimpin sebelumnya.

'Saya rasa beliau ada beberapa idea yang baik,' ujar Dr Mahathir selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ahad lalu.

Seorang penolong profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Reuben Wong, berkata yang pasti Datuk Seri Najib, tidak seperti Tun Abdullah, atau 'Pak Lah', mahu meyakinkan pengundi bahawa beliau bukan 'perdana menteri sementara' yang hanya 'memanaskan' kerusi perdana menteri.

Selepas menghabiskan sebahagian besar masanya memperbaiki imejnya - ekoran skandal pembunuhan wanita Mongolia yang membabitkan penasihatnya, Abdul Razak Baginda (yang akhirnya dibebaskan oleh mahkamah) dan krisis perlembagaan di Perak - Datuk Seri Najib sedaya upaya cuba mengukuhkan kuasanya dalam Umno, yang kelihatan masih rapuh, kata Dr Wong, yang juga anggota majlis Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).

Dilahirkan pada 23 Julai 1953, di Kuala Lipis, Pahang, anak sulung perdana menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, itu menggantikan Tun Abdullah pada 3 April 2009.

Proses peralihan kuasa itu diatur sendiri oleh Pak Lah dalam Umno selepas Barisan Nasional (BN), yang dipimpin Pak Lah, mencatat prestasi pilihan raya paling buruknya pada 8 Mac 2008 dan kehilangan empat negeri kepada pakatan pembangkang.

'Memandangkan besarnya cabaran yang dihadapi beliau, saya boleh mengatakan bahawa prestasi beliau agak baik,' kata Dekan Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Dr Joseph Liow.

'Dalam menilai prestasinya, kita harus menyedari fakta bahawa beliau bermula dengan satu pendakian mencabar. Beliau mewarisi pentadbiran yang semakin hilang keabsahannya di kalangan rakyat, sebuah ekonomi dalam keadaan meruncing, dan sebuah parti (politik) campuran yang semakin tertambat di pinggiran,' jelas Dr Liow.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat Datuk Seri Najib sekurang-kurangnya mampu sedikit sebanyak membina semula keyakinan rakyat.

Ini 'walaupun kita belum dapat menyatakan dengan jelas bahawa beliau sudah berjaya memulihkan sepenuhnya kepercayaan dan keyakinan' di negara itu, kata beliau.

Alasan Dr Pandian ialah Datuk Seri Najib telah berjaya menukar landskap politik Malaysia berbanding suasana ketika beliau mengambil alih daripada Pak Lah.

'Pada April 2009, ia tidak menentu, tidak stabil dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pula pada tahap terendah,' kata Dr Sivamurugan.

Jadi, apakah perubahan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib?

Selain mencerminkan dirinya sebagai pemimpin 'berjiwa rakyat', presiden Umno itu telah memperkenalkan gagasan '1Malaysia' dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada April tahun lalu.

Beliau juga memperkenalkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, membasmi rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat prasarana asas luar bandar dan meningkatkan mutu khidmat pengangkutan awam bandar.

'Saya fikir sedikit sebanyak beliau dapat menstabilkan sekitaran politik dalam negeri, walaupun mungkin ada yang mengatakan ia lebih disebabkan oleh kelemahan pihak pembangkang dan kerajaannya yang masih belum mantap untuk berdiri sendiri,' kata Dr Pandian.

Datuk Seri Najib juga berusaha menambat semula sokongan bukan Melayu, kata pengamat.

'Beliau melakukan ini dengan membaharui dasar tindakan afirmatif, serta melalui konsep '1Malaysia'... hingga mempertaruh reputasinya sendiri dalam menyatukan negara,' kata Dr Liow.

Namun, Datuk Seri Najib mendapati ia tidak mudah direalisasikan.

Selain '1Malaysia' yang masih samar-samar konsepnya, Datuk Seri Najib menghadapi tindakan sesetengah pemimpin Umno yang bercanggah dengan konsep itu.

Ketegangan kaum tercetus apabila kerajaan Malaysia campur tangan setelah mahkamah membenarkan sebuah golongan Kristian menggunakan kalimah 'Allah'. Ia disusuli beberapa kejadian merosak tempat penyembahan pelbagai kaum.

Pembentukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu/Islam, seperti Perkasa, yang lantang mendesak kerajaan mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan mengekalkan Dasar Ekonomi Barunya (DEB,) serta tindakan kerajaan yang ditanggap hanya menyebelahi orang Melayu, juga tidak membantu.

Malah, Datuk Seri Najib sendiri pernah diingatkan oleh Dr Mahathir supaya usah memperlekeh desakan Perkasa jika mahu menarik pengundi Melayu.

Mengulas, zamil dan penyelaras Pengajian Malaysia di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, Dr Ooi Kee Beng, berkata ini kerana kerajaan gagal membutirkan dengan jelas konsep '1Malaysia'.

'Jika anda bandingkan '1Malaysia' dengan slogan-slogan 'Bangsa Malaysia' dan 'Wawasan 2020' yang diperkenalkan Dr Mahathir, anda akan lihat slogan mantan perdana menteri itu lebih mendalam kesannya,' ujar beliau.

Malah, trend desakan melindungi hak istimewa Melayu yang meluap-luap di negara itu kelihatan bercanggah dengan prinsip keterangkuman '1Malaysia'.

'Tambahan, tindakan Datuk Seri Najib dan rakan-rakannya di Umno ada kala bercanggah dengan '1Malaysia',' kata Dr Ooi.

Datuk Seri Najib, bagaimanapun, menunjukkan bahawa beliau serius dalam melaksana pembaharuan ekonomi dengan pengumuman Model Ekonomi Baru (MEB) Malaysia, yang berpandukan merit dan penjanaan pendapatan lebih tinggi, Selasa lalu.

Meskipun MEB didakwa oleh pembangkang sebagai satu salinan Agenda Ekonomi Malaysia (MEA) yang menjadi manifesto mereka pada pilihan raya Mac 2008, ia tetap menawarkan harapan kepada ekonomi yang sedang dirundung masalah pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) dan bakat dalam negara itu.

Satu pembaharuan MEB ialah keberanian Datuk Seri Najib merombak DEB dan menggantikannya dengan dasar yang berpandukan merit, tanpa mengira kaum.

Namun, pelan induk ekonomi yang bertujuan meningkatkan status Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang akhir 2020 itu masih kurang dari segi perincian.

Mungkin rakyat Malaysia perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum pembentangan kedua MEB membutirkan dengan jelas pelaksanaannya.

Juga, usul memperkenal cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta menarik balik subsidi beberapa barangan, seperti minyak, tidak dimasukkan dalam MEB kerana Datuk Seri Najib terpaksa 'mendengar suara rakyat', kata pengamat.

Ini menjadikan beliau kelihatan seperti pemimpin 'populis' dan 'lemah', kata Dr Ooi.

Dari sudut dasar luar, Datuk Seri Najib nampaknya lebih berjaya dengan usahanya mempererat lagi hubungan Malaysia dengan India, China dan negara-negara Asean, kata Dr Wong.

Namun, cabaran terbesar bagi Datuk Seri Najib adalah BN sendiri.

'Parti-parti komponennya kucarkacir. Sebarang campur tangan oleh presiden Umno itu dalam keadaan sekarang mungkin membawa kesan melemahkan kewibawaan kepimpinan parti-parti komponen itu,' kata Dr Liow.

'Dalam erti kata lain, tidak banyak yang dapat dilakukan Najib. Saya percaya beliau juga menyedarinya. Sebab itu beliau mula menjangkau melewati MCA, MIC dan Gerakan ke arah parti-parti dan kumpulan-kumpulan lain yang boleh menyediakan saluran dan akses lebih baik kepada kawasan undi bukan Melayu,' jelas beliau.

Apa sekali pun, prestasi Datuk Seri Najib dalam tahun pertamanya sebagai perdana menteri sukar dinilai kerana janji-janjinya belum terlaksana sepenuhnya.

Gambaran lebih jelas hanya akan muncul menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-13 kelak.
WarkahDaily

Wednesday, March 31, 2010

Awas Perokok!!


KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.

Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.

Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.

Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.

PR kesal Polis menganggu Sidang DUN Perak

Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan kehadiran anggota polis yang mengganggu keharmonian dan kelancaran mesyuarat pertama penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di Bangunan Darul Ridzuan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau termasuk 27 ADUN PR yang lain memprotes tindakan segelintir anggota polis yang menghalang mereka memasuki pintu berhampiran DUN.

Menurutnya, mereka menerima arahan daripada Speaker DUN, Datuk R Ganesan untuk memasuki pintu berasingan dengan ADUN Barisan Nasional (BN).

“Kami bukan sahaja dihalang selama 15 minit sebelum masuk ke dewan oleh anggota polis malahan diarahkan untuk masuk ke pintu lain,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, petugas media turut menjadi mangsa apabila dihalang pihak berkuasa daripada membuat liputan perjalanan Sidang DUN itu.

Beliau mendakwa terdapat puluhan anggota polis memenuhi galeri awam berlegar-legar di kawasan berkenaan.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kebebasan media adalah salah satu asas demokrasi. Apa yang berlaku di dalam dewan harus diberitahu kepada rakyat tidak kira sama ada mereka (media) menyokong PR ataupun BN,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham mencabar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Polis Perak dan Datuk Zulkifli Abdullah berjanji supaya anggota polis tidak menghadiri Sidang DUN, hari ini.

Menurutnya, pihak PR tidak teragak-agak bertindak membuat laporan kerana menghalang perjalanan demokrasi dan melanggar undang-undang di negeri ini.

“Tidak mustahil jika sewaktu perbahasaan ada anggota polis yang tidak suka kepada kami cuba bertindak di luar batasan.

“Justeru, kita meminta supaya jaminan diberikan kepada ADUN PR supaya keselamatan kami terjamin sepanjang Sidang DUN berlangsung,” katanya.

Di samping itu, Koo Ham meminta supaya masa untuk perbahasan cukup untuk mengemukakan isu berkaitan rakyat namun mereka difahamkan hari ini agenda itu tidak akan dijalankan.

“Sepatutnya kita ikut sistem yang dilaksanakan di Parlimen di mana kedua-dua pihak berdebat sebelum satu keputusan muktamad dicapai.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya Setiausaha Dewan melakukan sesuatu terhadap kehadiran polis kerana negara kita mengamalkan Doktrin Pengasingan Kuasa dan mereka yang tidak berkaitan tidak boleh mengganggu Sidang DUN,” katanya.