Tuesday, November 10, 2009

"Fokus Kepada Musuh"


Kemelut yang cuba dicipta oleh musuh untuk memecahkan kekuatan PAS telah berlaku zaman berzaman. Dasar 'pecah & perintah' sudah menjadi amalan mereka setelah usaha awalan gagal. Seperti yang pernah diungkapkan oleh al Qardhawi bahawa musuh akan menggunakan pendekatan kekuatan persenjataan setelah mereka gagal melalui kaedah berhujjah.

Umum mengetahui bahawa bagi PAS bukanlah suatu yang asing untuk meredah kepayahan di zaman PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat menguasai 5 buah kerajaan negeri. Dalam erti kata lain, jika PAS mampu melalui proses ujian yang panjang dengan segala kekurangan, kelemahan di saat menjaga kaunter pembangkang, inikan pula waktu kita di premis kerajaan.

Cuma wujud kebimbangan, mampukan kita menghadapi ujian gelombang kekuasaan. Seorang teman pernah menyatakan kekhuatirannya di saat kita mula mengenali ruang-ruang kemewahan di kiri dan kanan jalan. Namun jika iman dan aqidah yang dibajai oleh jamaah dijadikan landasan kehidupan samada oleh para pengikut mahupun pimpinan maka neraca kekhuatiran itu akan meleset.

Kerana itu, fokus kita mestilah tepat kepada sasaran. Musuh harus dihadap dengan dua pendekatan. Samada menelusuri mereka dengan kemulian dakwah atau menggempur mereka dengan seluruh kekuatan hujjah.

Sangat tidak munasabah jika kita asyik menghalakan suluhan kita ke arah sahabat-sahabat seperjuangan. Jika ianya bermaksud untuk memperbaiki dan menjaga solidariti perjuangan sememangnya ia wajar. Namun andainya wujud kebejatan dan elimen kesyaitanan, sayugialah Allah lindungi jamaah ini dan menapis antah-antah dan hama yang ada. Kemuncut yang melekat itu akan kita kikis dengan pisau yang tajam atau mencabutnya bagaikan menarik sehelai rambut di dalam gumpalan tepung...

Monday, November 9, 2009

Gempa Bumi Yang Menakutkan...

Ceramah Kepada Warga Masyarakat Padang, Sumatera Barat, Indonesia

Kenangan Bersama Dr Hj Mohd Yusof & Haji Abu Samah

Anggota Rombongan Di LCCT Sebelum Berangkat Ke Padang


Pertama kali terasa debaran untuk meninggalkan anak & isteri sewaktu melangkah ke luar negara. Misi Kemanusiaan bersama antara Muslim Care Malaysia & Lajnah Antarabangsa DPP Pusat kali ini menuju ke lembah yang sarat dengan penduduk. Perjalanan ke Indonesia kali ini bagaikan ada yang tak kena. Bimbang kerana di sana Allah takdirkan suatu ujian yang besar untuk rakyat terbanyak. Goncangan bumi bagaikan berakhirnya kehidupan. Mata yang menyaksikan kemusnahan harta benda, bangunan dan muka bumi sekaligus mengingatkan kita kepada betapa agungnya kekuatan Allah.

Mayat yang bergelimpangan, ratusan lagi yang tertimbus, rumah mayat yang sendat, kamar sakit yang sesak ; itulah fenomena di Padang, Sumatera, Indonesia.

Biarpun semua itu telah berlalu, namun mata dan perasaan yang satu ini masih melihat betapa degilnya manusia. Memunggah kehidupan yang sarat dengan kepayahan itu secara semberono tanpa bertanya kepada tuhan, apakah ianya dalam redhaNya atau murkaNya.

Apakah runtuhan Gunung Tigo yang menenggelamkan 3 buah kampung yang sarat dengan penduduk, ditenggelami secara pukal dan pakej oleh Allah sehingga membentuk kawah besar bersebelahannya masih belum menginsafkan manusia? Tidakkah kubur besar yang menimbusi lebih 400 penduduk itu masih membugarkan jiwa manusia terhadap dunia....

Terasa bimbang bila melihat ibadat sepenting solat ditinggal seperti lagaknya manusia tanpa rasa bersalah kini membayangi kehidupan sebahagian masyarakat Padang yang baru ditimpa musibah. Ngeri bila memikirkan gelora yang bergerak di bawah permukaan bumi jika kembali ke permukaan. Namun mereka semacam tidak memikirkan kemurkaan Ilahi. Semuga Allah menghidayatkan mereka dan membugarkan kecintaan mereka terhadap Allah Azzawajalla langsung beramal semahunya mempasrahkan diri dan menghambakan jasad hanya untukNya.
Sepahat kasih mahabbah filLah buat sahabat-sahabat dari Parti Keadilan Sejahtera yang senentiasa bersama meredah keperitan rakyat kepayahan. Layaklah kemenangan untuk mereka lantaran khidmah bakti, mujahadah dan jihad yang menjadi sebahagian daripada kehidupan anggota-anggota jundullah ini. Semuga ianya menjadi pakaian kita bersama....

Allahu Akbar...