Wednesday, January 28, 2009

Pengkebumian Kugan



Lima lelaki ditahan kerana menimbulkan kekecohan ketika menyertai upacara pengebumian A. Kugan yang mati semasa ditahan di lokap balai polis Taipan, Subang pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasaan berkata polis menahan seorang suspek bunuh semasa perarakan pengebumian tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek berkenaan adalah salah seorang daripada lima yang ditahan sebelum ini.

Penangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila seorang lelaki cuba merempuh kearah pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan orang ramai yang berkumpul bersurai.

Dua lagi ditahan kerana cuba melalui sekatan polis di PPUM.

Manakala dua lagi ditahan polis kerana didapati cuba untuk menyebarkan provokasi dikalangan orang ramai yang berkumpul di kawasan PPUM.

Empat daripada mereka memakai kemeja-t Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) - pertubuhan yang diharamkan sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang dipercayai bekas penyelaras kumpulan itu, R.S. Thanendran.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul bagi menyertai perarakan dari PPUM ke krematorium di Batu 14 Puchong.

Bagaimanapun orang ramai yang berkumpul di perkarangan PPUM sejak pukul 8 pagi, mematuhi nasihat polis dan bersurai dari kawasan itu pada kira-kira pukul 1.45 petang.

Kereta jenazah yang membawa mayat Kugan, meninggalkan bilik mayat PPUM selepas pukul 2 petang untuk upacara pengebumian.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati pada 20 Januari semasa dalam siasatan.

No comments: