Thursday, April 2, 2009

Siti Nurhaliza akhirnya temui Nik Aziz...Malaysiakini


Ketika seluruh negara tertumpu ke tiga pilihanraya kecil dan Istana Negara, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini membuat satu kejutan - bertemu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Penyanyi nombor satu itu membuat kunjungan hormat ke atas menteri besar Kelantan selepas "sekian lama menyimpan hasrat bertemu tokoh ulama tersebut", lapor Harakahdaily.net.

Selepas kunjungan bersama suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa, beliau dilaporkan menzahirkan rasa syukur kerana hasratnya menjadi kenyataan. "Selama ini saya hanya mengenali Tuan Guru melalui media massa sahaja tanpa bertemu secara dekat. "Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami. Pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa, maksudnya tiada agenda apa-apa," beliau dipetik berkata.

"Orang kata sepanjang hidup ni nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadi."Siti Nurhaliza menambah, mursyidul am PAS seorang yang berpegang pada prinsip serta ajaran agama. Menurut laporan akhbar rasmi parti itu, pertemuan di pejabat menteri besar di Kota Bharu berlangsung kira-kira setengah jam.

Penyanyi manis ini - lebih mesra dengan panggilan Siti - mengambil peluang bertemu Nik Abdul Aziz selepas diundang membuat persembahan pada majlis Sultan Kelantan sempena keputeraan baginda malam tadi. Sempena kunjungan itu, Siti Nurhaliza dan tokoh PAS itu bertukar-tukar cenderahati. Kakitangan pejabat menteri besar dan pejabat berdekatan di Kota Datul Naim turut mengambil peluang bertemu dengan selebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar, lapor laman web itu lagi

No comments: