Tuesday, July 14, 2009
Kemenangan di Manek Urai
Saatnya untuk kembali bekerja di dalam sebuah bahtera perjuangan...
Kemenangan PAS di dalam PRK Manek Urai cukup manis buat kita. Kini kedudukan semasa Pakatan Rakyat mendahului 6 berbanding BN 1. Memang pun di akhir-akhir ini BN meminati nombor 1. Mungkin kerana nombor satu menggambarkan kedudukan yang terbaik. Tidak sukar untuk meneka siapa yang tergila-gila dengan nombor ini. Dalam ucapan sempena 100 hari PM yang baru berkuasa, dan setelah PM lama berundur, muncul selogan yang mencanangkan nombor wahid ini. Katanya dan mahunya untuk rakyat di negara ini : "1 Suara, 1 Impian, 1 Harapan, 1 Malaysia"... Saya fikir Najib patut tidak lupa untuk fokus dalam mempertahankan satu-satunya kerusi di Batang Ai miliknya.
Memang tidak ramai yang menjangka BN akan menang di Manek Urai. Walau dipujuk, dirayu, dilawat dan dirawat, diberi wang dan saguhati, ditambah peruntukan, dibantu angkat disorong tarik, mereka merakyat sehingga bermalam dan bersolat di rumah rakyat, melebarkan telinga mencari mangsa musibah, menoreh getah bagai menyongsong arus, namun sikap baiknya pemimpin UMNO dan BN tidak sekali-kali melalaikan masyarakat untuk memahami mana intan mana payung, mana rusa mana musang sekali gus berdiri teguh dalam mempertahankan kerajaan pimpinan Tuan Guru al Mursyidul Am.
Sedikit sebanyak memang terasa gatal. Bak kata tok guru ; adat berjalan di tengah padang, kemuncut memang tidak dapat dielak. Dia mengganggu, melambatkan dan cuba meremehkan daya tahan perjuangan kita. Namun yang pasti, ia memberi kredit kepada kita bila musuh juga menerima asakan dan gangguan dalam perjalanannya.
Jumhur rakyat Kelantan tahu kerja dan operasi 'Cah Keting' menjadi budaya yang membarah dalam rumah UMNO. Siapa naik belum tahu akan sampai ke puncak. Itulah yang dihadapi mereka. Influenza A H1N1 memang bermaksud selsema babi. Tiada khilaf : bagaikan UMNO dengan segala kejelekan yang kian memburuk dan membusuk...
Pun begitu, bagi kita para pejuang, kekhilafan buka suatu yang tidak boleh diraikan. Biar bergolok bergadai, namun pautan ukhuwah dan salam kasih seringkali membajai benih-benih kemenangan yang sedang mekar mewangi. Benar,tiada yang lebih manis di rasai melainkan saat kita mendakap erat teman yang terkhilaf buat seketika. Teman yang tersindir. Teman yang kedu. Teman yang terguris. Teman yang teraniaya. Dan teman-teman yang terkorban dek kesakitan yang dideritainya.
Pengurangan ketara majoriti bukan bermakna rakyat menolak kita. Tetapi jagalah batasan sempadan tersebut biarpun rasanya pengundi sedang bertarik tali dengan janji-janji BN khususnya dalam melaksanakan pembinaan jambatan di Manek Urai. Itulah kecerdikan rakyat Kelantan. Kalah dalam bilangan yang kecil takkan masih berkira untuk terus menghukum.... Binalah jambatan untuk kita kembali bertarung di laluan yang lebih selesa.
Tahniah untuk YB Abang Uji. Dan tahniah untuk semua petugas Pakatan Rakyat...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment