Monday, December 21, 2009

Doakan Untuk Paudzi Abd Rahman di HKL...

Pauzi sedang menghubungi keluarganya di wad HKL...

Beliau terpaksa berkerusi roda sewaktu dibawa ke wad...


Sewaktu Pakatan Rakyat bersidang bagi mengambil kata sepakat sempena Konvensyen Sulongnya di Shah Alam, Selangor, saya teringat seorang teman yang terpaksa mendekam di Hospital Kuala Lumpur. Dia bukanlah seorang tokoh hebat. Bukan juga seorang pemidato. Jauh sekali untuk tersenarai di kalangan tokoh-tokoh tersohor yang dikehendaki oleh Amerika atau Yahudi. Namanya tidak segah itu.

Saya mengenalinya sewaktu dia bermusafir ke Sabah. Sekitar 15 tahun yang lalu. Dia berniaga untuk mencari sesuap rezeki bagi menanggung dan membiayai keluarganya dan perjuangannya. Dia seorang yang mudah tersenyum. Barangkali itulah sifat semulajadinya. Sekurang-kurangnya dia mampu bersedekah meskipun sekadar sekuntum senyuman hambar.

Seringkasnya untuk episod ini, saya berforum dengan al akh ustaz Ismail Dagang yang hebat berhujjah sambil berselora. Masjid yang menjadi pentas kami bagaikan terlepas pandang terhadap seorang insan yang bertubuh sasa namun agak kurang bermaya. Tenaganya dikerah untuk menjual produk yang dibawanya meski pun dia dilanda seribu kepayahan.

Dia batuk dan muntah berdarah dalam perjalanannya dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Dia berazam untuk berkhidmat bagi membawa ustaznya dengan harapan untuk berkongsi pahala, meskipun dia tidak mampu berceramah namun dia mampu membawa penceramahnya. Begitulah khidmatnya untuk Islam dan perjuangan yang diyakininya.

Selesai berforum, saya dan ustaz Ismail membawanya ke Hospotal Kuala Lumpur. Dia di X-ray dan kelihatan seperti sedikit kemusykilan di sudut paru-parunya. Doktor mencadangkan agar dia ditahan di wad. Namun setelah sedikit berbisik dengan saya, beliau meminta agar direkemenkan untuk masuk ke wad Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Beliau berjanji untuk berangkat pulang seawal pagi besoknya ke sana.

Setelah doktor menyetujuinya dengan selampir surat perakuannya, kami beredar untuk mencari sesuatu bagi mengalas perut terutamanya saudara muslim ini yang belum menjamah apa-apa menu dari siangnya. Kelihatan dia lebih puas minum dari menyuap apa yang ada. Jelas dia tidak berselera...

Kami segera ke Ibu Pejabat di Jalan Raja Laut untuk beristerihat. Waktu itu jam sekitar 3 pagi. Saya tidak pasti bila kami terlelap, namun seawal jam 4.30 pagi saya dibangunkan oleh suara yang menahan rasa sakit. Saya bergegas mengekorinya ke kamar mandi. Tersentak bila melihat dia batuk dan darah yang banyak keluar dari mulutnya...

Setelah berbincang, ustaz Ismail meminta saya segera membawanya ke HKL. Beliau terpaksa bertahan di situ kerana anak dan isterinya ada bersama. Sepanjang perjalanan saya mendengar kalimah Allah yang sentiasa membasahi bibirnya meskipun dia terpaksa berjuang untuk menghadapi segala-galanya.

Dia akhirnya ditahan di wad 27 aras 5 HKL. Dua hari di sana dia dipindahkan ke aras 3 wad 8. Saya tidak dapat pastikan masalahnya dan penyakitnya. Tetapi yang pasti dia sakit. Batuknya berdarah dalam kapasiti yang bukan sedikit. Dia juga akan ke IJN pada 4 Februari 2010. Jantungnya juga ada masalah....

Saya fikir inilah masanya untuk kita buktikan semangat solidariti kita. Memahami penderitaan sahabat dengan sedikit perkongsian. Melabuhkan tangan berdoa kehadirat Ilahi agar sahabat ini dianugerahkan kesabaran bersama anak-anaknya dan anggota keluarganya.

Tidak salah untuk kita menyumbang bagi meredakan kepayahannya yang kian terhimpit. Bukankan Islam mengajar kita erti persahabatan. Hulurkanlah kepadanya walau sekadar sebelah tamar yang telah kita gigit. Dia tidak memilih. Tetapi dia pandai berterima kasih.

Namanya : MOHD PAUDZI BIN ABDURAHMAN
No. Akaun BSN : 1110429000037363

Saya depositkan dengan artikel ini untuk teman-teman menggenapkannya. Jazakumullahu Khairan Jaza' buat al akh ustaz Ismail Dagang yang memuqaddimahkan sumbangannya buat beliau. Allahu'akbar....

No comments: