Friday, April 9, 2010

Bekerja untuk kembali kuasai Terengganu - Ustaz Azman Shapawi


Pimpinan dan pendokong PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya digesa agar mempertingkatkan komitmen untuk kembali menguasai kepimpinan kerajaan negeri Terengganu dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Demikian ditegaskan oleh Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 47, Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut di Alor Lintang, Jerteh. Turut hadir Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Yang DiPertua PAS Kawasan Besut dan Haji Hassan Salleh, timbalannya.

Ustaz Azman menyatakan bahawa kemelut dalaman yang dihadapi oleh BN Terengganu sedang menunggu masa untuk pecah. Pembongkaran isu-isu yang melibatkan penyelewengan dan salahguna kuasa kini semakin terdedah kepada rakyat. Ditambah lagi dengan isu-isu yang sedang hangat menyelubungi kepimpinan UMNO termasuk skandal yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti-parti komponan BN.

Saya yakin jika semangat yang ditunjukkan oleh perwakilan yang hadir hari ini dapat dipertingkatkan, melebar dan memperluaskan pengaruh Islam kepada masyarakat dan pengundi, PAS akan kembali menguasai Terengganu. Tegas beliau dengan penuh semangat.

Tuesday, April 6, 2010

Portal KDN sahkan APCO terlibat

Lawatan firma perundingan antarabangsa APCO Worldwide (APCO) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 28 Oktober tahun lalu, seperti yang dilaporkan oleh laman iKDN, portal rasmi kementerian (gambar atas) tersebut seolah-olah memberi satu jawapan berhubung sejauhmana firma yang dikatakan pro Zionis-Israel itu berperanan dalam urusan keselamatan dalam negara.

Munurut portal rasmi kerajaan itu, http://www.ikdn.org, KDN telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa perunding antarabangsa paling lewat pada 23 Oktober tahun lalu.

Pertemuan itu, menurut portal KDN, adalah pertemuan kali yang kedua dari empat pertemuan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Jelas sumber itu lagi, persetujuan KDN melantik APCO merupakan aktiviti kesinambungan dari program 'Supporting The Goverment Of Malaysia: Building Intergrated Goverment Communication' anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri.

Lebih mengejutkan, portal tersebut mendedahkah, dua siri pertemuan tersebut dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam. (gambar)

Pemakluman rasmi itu sekaligus mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebelum ini, bahawa perlantikan APCO boleh mengakibatkan keselamatan dalam negeri terdedah pada firma pro Zionis-Israel tersebut.

18 Mac lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam jawapan lisannya kepada Dewan Rakyat memberitahu, inisiatif kerajaan melantik APCO menguruskan perkhidmatan komunikasi menyeluruh dalam kerajaan supaya kerajaan mampu meningkatkan lagi kapasiti perkhidmatannya dalam bidang komunikasi.

Jawapan Nazri itu adalah mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

harakahdaily

Monday, April 5, 2010

BN buli rakyat Hulu Selangor


1. Pilihanraya kecil di negara kita terus menjadi pentas UMNO dan BN menabur gula - gula guna memperbodoh dan mempersendakan rakyat sendiri . Saya tidak tahu bagaimana rakyat atau masyarakat yang bertamaddun hari ini boleh menerima tindakan UMNO dan BN .

2. Kesempatan saya menonton berita Awani semalam cukup memualkan apabila Perdana Menteri secara spontan dengan senyuman melirik sinis ke arah audien yang terdiri dari masyarakat India di Hulu Selangor menghamburkan gula - gula pilihanrayanya .

3. " Hendak apa lagi ? taman permainan , balairaya , kuil ? kuil dah ada ke belum ? hah .. kuil dan banyak lagi ... tapi saya mahu tengok kamu semua sokong BN ......" begitulah lebih kurang bahasa Perdana Menteri dalam pertemuan beliau dengan masyarakat India di Hulu Selangor , disambut dengan tawa gaya mempersenda oleh beberapa menteri yang turut hadhir .

3. Saya sendiri rasa cukup terhina dengan cara Perdana Menteri berkempen . Seolah - olah masyarakat India di Hulu Selangor berada dalam kebuluran .

4. Tidaklah salah untuk memberi .... tetapi jika dilihat kepada cara UMNO dan BN memberi .... kepada masyarakat India di Hulu Selangor jelas kelihatan seperti mempersenda dan memperbodohkan kaum itu . Tidak kurang juga Timbalan Perdana Menteri yang menjanjikan :

* 4 buah sekolah baru bagi Parlimen Hulu Selangor
* RM 2 juta bagi mengatasi masaalah banjir di kg Sentosa batang Kali
* Meluluskan RM 100 kepada pihak Masjid al Sajdin di Kampung itu .

5. Persoalannya kenapa projek jutaan ringgit ini sering dijanjikan pada musim pilihanraya . Saya yakin jika tiada pilihanraya maka tiada menteri yang tergamak menabur janji seperti itu . Sudahlah janji - janji lama seperti di Bagan Pinang dan Manek Urai belum terlangsai , kini UMNO dan BN kembali semula dengan janji yang cukup manis . Alangkah diselesaikan dahulu jambatan yang mahu dibina di Manek Urai dan Bandar Tentera yang penuh dengan kemudahan WiFi di Bagan Pinang .

6. Parlimen Hulu Selangor menyaksikan 3 DUN di bawahnya adalah dimenangi oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu . Kenapa UMNO dan BN tidak melaksanakan sahaja segala projek dan peruntukan yang dijanjikan itu sebelum ini ?

7. Tawaran Projek perumahan RM 32 juta oleh Perdana Menteri jika masyarakat peneroka Felda mengundi UMNO dan BN juga sebahagian daripada manipulasi pilihanraya untuk terus memerangkap rakyat agar kekal menjadi bodoh dan terpedaya dengan segala politik murahan mereka . Alangkah manis jika Perdana Menteri memberi perhatian kepada peneroka Felda di negeri kelahiran beliau sendiri yang masih memerlukan banyak peruntukan untuk menaik taraf kehidupan peneroka Felda dan generasi kedua Felda setelah mereka membanting tulang separuh usia mereka untuk Felda .

8. Saya sekali lagi yakin rakyat tidak mudah terpesona dan terpedaya terutama peneroka Felda yang kini rata - ratanya telah mula menghidu penyelewengan Felda juga kerajaan UMNO dan BN ke atas peneroka . Tidak ada sebab peneroka Felda seperti Felda Soeharto merelakan diri mereka diperangkap oleh UMNO dan BN dengan projek pembinaan rumah 250 unit sebagaimana yang diumumkan kerana ia hanyalah rumah untuk dijual [ bukan diberi percuma ] kepada peneroka .

Rumah kos rendah dengan harga RM 42,000 [harga pokok tidak termasuk kadar faedah]
Rumah kos sederhana dengan harga RM 75,000 [juga tidak termasuk kadar faedah]

Jika dihitung nilai dengan kiraan tempoh pinjaman selama 20 hingga 30 tahun , harganya adalah dibaca pada nilaian RM 100 - 120 ribu .

9. Lebih baik dan bermaruah jika kerajaan UMNO dan BN memulangkan semula hak 25000 peneroka Felda yang dinafikan sebelum ini berhubung dengan wang simpanan untuk Tanam Semula sebanyak RM 425 juta yang telahpun diarah bayar oleh mahkamah. Kerajaan UMNO dan BN tidak perlulah berlakon untuk acara pecah tanah membina 250 unit perumahan baru di Felda Soeharto .

10. Isu peruntukan rumah kediaman buat generasi kedua peneroka Felda masih belum selesai , juga isu tanah lebihan di kawasan Felda belum dapat ditangani dengan baik malah banyak lagi projek perumahan dan setinggan yang belum diselesaikan secara bijak oleh Kerajaan UMNO dan BN , tiba - tiba hari ini mereka menabur janji baru bernilai jutaan ringgit kepada pengundi Hulu Selangor .... saya harap pengundi nilailah sejujurnya sikap dan sandiwara UMNO dan BN lalu sedarkan mereka dengan menyentap segala kuasa yang menjadi punca mereka angkuh dan sombong lalu membuli rakyat marhaen .

Ustaz Nasaharudin Tantawi

Sunday, April 4, 2010

DSAI Perjelas Isu 16 September 2008


Kemungkinan penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru pada September 2008 yang diterajui oleh Pakatan Rakyat hampir menjadi realiti sekiranya Perdana Menteri ketika itu dan Speaker Dewan Rakyat tidak menolak untuk mengadakan perjumpaan dan persidangan khas Parlimen.

Malah menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Pakatan Rakyat juga telah mengutuskan warkah yang dipersembahan ke bawah Yang DiPertuan Agong bagi memohon mengadap baginda berhubung perkata itu.

Justeru adalah tidak benar sama sekali dakwaan yang mengatakan '16 September' adalah rekaan dan pembohongan pihak Pakatan Rakyat kata Anwar.

"Pada 19 September 2008 warkah kepada Yang DiPertuan Agong diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat kerana mereka telah beri mandat kita rujuk kepada istana negara, kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia mengikut Fasal 43 Perlembagaan Malaysia.

"Kita tidak edarkan surat ini kerana pada ketika itu kita kena jaga kedudukan Yang DiPertuan Agong, kalau jadi kita ikut saluran," tegas Anwar di Dewan Rakyat petang semalam.

Sebelum itu Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata Pakatan Rakyat juga tekah menghantar surat untuk membuat perjumpaan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi ditolak.

Kemudian Pakatan Rakyat telah menulis suat kepada Speaker memohon satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri tetapi langkah ini juga ditolak.

"Pada 18 September 2008 setelah mendapat persetujuan ketiga-tiga parti, KEADILAN, PAS dan DAP, Pakatan Rakyat menulis surat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu petisyen bagi mengadakan persidangan khas Parlimen Malaysia. Ini bagi membincangkan usul bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau.

"Mustahil saya berani tulis surat begini kalau saya tidak ada jumlah dan perakuan daripada rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat kerana kalau ada pada masa itu mesyaurat seperti yang kita minta mengikut Peraturan 11 (3) tapi itu ditolak.

"Kita melakukan tiga proses, pertama minta pertemuan dengan Perdana Menteri ditolak, kedua tulis kepada Speaker juga ditolak," hujah Anwar ketika mencelah penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Keadaan Dewan menjadi riuh ketika Anwar mengatakan bahawa ramai antara anggota Parlimen yang hadir pada sidang semalam telah menemui beliau bagi membincangkan kemungkinan menyertai Pakatan Rakyat malah ada yang telah menandatangani surat akuan.

"Saya tidak nafikan perkara ini tidak berlaku tetapi saya nak sebut dalam Dewan Ahli-ahli Yang Berhormat tahu dan saya tahu siapa yang beri perakuan dan siapa yang tandatangan," kata Anwar sambil di sambut dengan laungan," dia orang (Ahli Parlimen Barisan Nasional) dah takut, dah takut".

Bagaimanapun Anwar tidak mendedahkan senarai nama Ahli Parlimen BN yang bersetuju bersama-sama Pakatan Rakyat.

"Yang Berhormat dari Umno boleh ketawa, ada antara yang ketawa ada yang bincang dengan kita, ada yang talipon tapi itu bukan soalnya. Yang penting baik persahabatan atau perbincangan yang kita anggap tertutup kita hormati prinsip itu dan jangan ada langsung keraguan mengenai perkara ini kerana dalam politik ini ada etika walaupun dengan musuh. Ini kita pertahankan sebab itu saya tidak pernah keluarkan," jelas beliau.

Tegas Anwar Pakatan Rakyat telah mengikut prosedur dan peraturan yang betul yang berlandasan Perlembagaan Persekutuan berhubung perancangan 16 September 2008.

"Jangan kata kita permainkan isu ini kerana kita ikut jalur undang-undang dan kemudian mahu dikatakan ini palsu. Saya sebutkan saya lakukan ini makna setakat menghormati peraturan, undang-undang dan Perlembagaan, tiga-tiga proses kita lakukan, itu tahap yang telah kita lakukan. Soal untuk mengatakan kita tidak ada jumlah itu tidak benar, mustahil saya ambil risiko itu," ujar Anwar lagi.

Warga emas banjiri bank dapatkan RM100 seorang dari kerajaan negeri

Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.

Saturday, April 3, 2010

Setahun sebagai PM, Najib belum mengotakan janjinya - Tun Mahathir


HARI ini genap setahun Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri keenam Malaysia selepas menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April tahun lalu.

Secara kebetulan, peristiwa itu berlaku tiga bulan selepas Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat.

Pelantikan dua pemimpin itu menjanjikan harapan baru kepada warga negara masing-masing setelah mereka terpaksa menjalani tempoh kehampaan pemimpin sebelumnya.

Sedang Obama mencipta sejarah dengan rombakan radikalnya ke atas dasar penjagaan kesihatan Amerika baru-baru ini, bagaimana pula prestasi Datuk Seri Najib dalam mencorak perubahan di Malaysia sepanjang setahun yang lalu?

Sudah pasti soalan ini mengundang pandangan berbeza di kalangan pemerhati politik.

Apabila diminta mengulas prestasi tahun pertama Datuk Seri Najib, mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar kanan), berkata: 'Satu tahun belum cukup (untuk membuat penilaian). Sebenarnya, dia baru belajar menjadi perdana menteri.'

Namun, Dr Mahathir mengingatkan bahawa Datuk Seri Najib belum mengotakan janjinya sejauh ini, dan menggesa beliau supaya segera melaksana pembaharuan yang dijanjikan, walaupun beliau akur Datuk Seri Najib adalah 'pemimpin lebih baik' berbanding pemimpin sebelumnya.

'Saya rasa beliau ada beberapa idea yang baik,' ujar Dr Mahathir selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ahad lalu.

Seorang penolong profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Reuben Wong, berkata yang pasti Datuk Seri Najib, tidak seperti Tun Abdullah, atau 'Pak Lah', mahu meyakinkan pengundi bahawa beliau bukan 'perdana menteri sementara' yang hanya 'memanaskan' kerusi perdana menteri.

Selepas menghabiskan sebahagian besar masanya memperbaiki imejnya - ekoran skandal pembunuhan wanita Mongolia yang membabitkan penasihatnya, Abdul Razak Baginda (yang akhirnya dibebaskan oleh mahkamah) dan krisis perlembagaan di Perak - Datuk Seri Najib sedaya upaya cuba mengukuhkan kuasanya dalam Umno, yang kelihatan masih rapuh, kata Dr Wong, yang juga anggota majlis Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).

Dilahirkan pada 23 Julai 1953, di Kuala Lipis, Pahang, anak sulung perdana menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, itu menggantikan Tun Abdullah pada 3 April 2009.

Proses peralihan kuasa itu diatur sendiri oleh Pak Lah dalam Umno selepas Barisan Nasional (BN), yang dipimpin Pak Lah, mencatat prestasi pilihan raya paling buruknya pada 8 Mac 2008 dan kehilangan empat negeri kepada pakatan pembangkang.

'Memandangkan besarnya cabaran yang dihadapi beliau, saya boleh mengatakan bahawa prestasi beliau agak baik,' kata Dekan Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Dr Joseph Liow.

'Dalam menilai prestasinya, kita harus menyedari fakta bahawa beliau bermula dengan satu pendakian mencabar. Beliau mewarisi pentadbiran yang semakin hilang keabsahannya di kalangan rakyat, sebuah ekonomi dalam keadaan meruncing, dan sebuah parti (politik) campuran yang semakin tertambat di pinggiran,' jelas Dr Liow.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr Sivamurugan Pandian, berpendapat Datuk Seri Najib sekurang-kurangnya mampu sedikit sebanyak membina semula keyakinan rakyat.

Ini 'walaupun kita belum dapat menyatakan dengan jelas bahawa beliau sudah berjaya memulihkan sepenuhnya kepercayaan dan keyakinan' di negara itu, kata beliau.

Alasan Dr Pandian ialah Datuk Seri Najib telah berjaya menukar landskap politik Malaysia berbanding suasana ketika beliau mengambil alih daripada Pak Lah.

'Pada April 2009, ia tidak menentu, tidak stabil dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pula pada tahap terendah,' kata Dr Sivamurugan.

Jadi, apakah perubahan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib?

Selain mencerminkan dirinya sebagai pemimpin 'berjiwa rakyat', presiden Umno itu telah memperkenalkan gagasan '1Malaysia' dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada April tahun lalu.

Beliau juga memperkenalkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, membasmi rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat prasarana asas luar bandar dan meningkatkan mutu khidmat pengangkutan awam bandar.

'Saya fikir sedikit sebanyak beliau dapat menstabilkan sekitaran politik dalam negeri, walaupun mungkin ada yang mengatakan ia lebih disebabkan oleh kelemahan pihak pembangkang dan kerajaannya yang masih belum mantap untuk berdiri sendiri,' kata Dr Pandian.

Datuk Seri Najib juga berusaha menambat semula sokongan bukan Melayu, kata pengamat.

'Beliau melakukan ini dengan membaharui dasar tindakan afirmatif, serta melalui konsep '1Malaysia'... hingga mempertaruh reputasinya sendiri dalam menyatukan negara,' kata Dr Liow.

Namun, Datuk Seri Najib mendapati ia tidak mudah direalisasikan.

Selain '1Malaysia' yang masih samar-samar konsepnya, Datuk Seri Najib menghadapi tindakan sesetengah pemimpin Umno yang bercanggah dengan konsep itu.

Ketegangan kaum tercetus apabila kerajaan Malaysia campur tangan setelah mahkamah membenarkan sebuah golongan Kristian menggunakan kalimah 'Allah'. Ia disusuli beberapa kejadian merosak tempat penyembahan pelbagai kaum.

Pembentukan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu/Islam, seperti Perkasa, yang lantang mendesak kerajaan mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan mengekalkan Dasar Ekonomi Barunya (DEB,) serta tindakan kerajaan yang ditanggap hanya menyebelahi orang Melayu, juga tidak membantu.

Malah, Datuk Seri Najib sendiri pernah diingatkan oleh Dr Mahathir supaya usah memperlekeh desakan Perkasa jika mahu menarik pengundi Melayu.

Mengulas, zamil dan penyelaras Pengajian Malaysia di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, Dr Ooi Kee Beng, berkata ini kerana kerajaan gagal membutirkan dengan jelas konsep '1Malaysia'.

'Jika anda bandingkan '1Malaysia' dengan slogan-slogan 'Bangsa Malaysia' dan 'Wawasan 2020' yang diperkenalkan Dr Mahathir, anda akan lihat slogan mantan perdana menteri itu lebih mendalam kesannya,' ujar beliau.

Malah, trend desakan melindungi hak istimewa Melayu yang meluap-luap di negara itu kelihatan bercanggah dengan prinsip keterangkuman '1Malaysia'.

'Tambahan, tindakan Datuk Seri Najib dan rakan-rakannya di Umno ada kala bercanggah dengan '1Malaysia',' kata Dr Ooi.

Datuk Seri Najib, bagaimanapun, menunjukkan bahawa beliau serius dalam melaksana pembaharuan ekonomi dengan pengumuman Model Ekonomi Baru (MEB) Malaysia, yang berpandukan merit dan penjanaan pendapatan lebih tinggi, Selasa lalu.

Meskipun MEB didakwa oleh pembangkang sebagai satu salinan Agenda Ekonomi Malaysia (MEA) yang menjadi manifesto mereka pada pilihan raya Mac 2008, ia tetap menawarkan harapan kepada ekonomi yang sedang dirundung masalah pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) dan bakat dalam negara itu.

Satu pembaharuan MEB ialah keberanian Datuk Seri Najib merombak DEB dan menggantikannya dengan dasar yang berpandukan merit, tanpa mengira kaum.

Namun, pelan induk ekonomi yang bertujuan meningkatkan status Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang akhir 2020 itu masih kurang dari segi perincian.

Mungkin rakyat Malaysia perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum pembentangan kedua MEB membutirkan dengan jelas pelaksanaannya.

Juga, usul memperkenal cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta menarik balik subsidi beberapa barangan, seperti minyak, tidak dimasukkan dalam MEB kerana Datuk Seri Najib terpaksa 'mendengar suara rakyat', kata pengamat.

Ini menjadikan beliau kelihatan seperti pemimpin 'populis' dan 'lemah', kata Dr Ooi.

Dari sudut dasar luar, Datuk Seri Najib nampaknya lebih berjaya dengan usahanya mempererat lagi hubungan Malaysia dengan India, China dan negara-negara Asean, kata Dr Wong.

Namun, cabaran terbesar bagi Datuk Seri Najib adalah BN sendiri.

'Parti-parti komponennya kucarkacir. Sebarang campur tangan oleh presiden Umno itu dalam keadaan sekarang mungkin membawa kesan melemahkan kewibawaan kepimpinan parti-parti komponen itu,' kata Dr Liow.

'Dalam erti kata lain, tidak banyak yang dapat dilakukan Najib. Saya percaya beliau juga menyedarinya. Sebab itu beliau mula menjangkau melewati MCA, MIC dan Gerakan ke arah parti-parti dan kumpulan-kumpulan lain yang boleh menyediakan saluran dan akses lebih baik kepada kawasan undi bukan Melayu,' jelas beliau.

Apa sekali pun, prestasi Datuk Seri Najib dalam tahun pertamanya sebagai perdana menteri sukar dinilai kerana janji-janjinya belum terlaksana sepenuhnya.

Gambaran lebih jelas hanya akan muncul menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-13 kelak.
WarkahDaily