Wednesday, March 31, 2010

Awas Perokok!!


KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.

Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.

Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.

Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.

PR kesal Polis menganggu Sidang DUN Perak

Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan kehadiran anggota polis yang mengganggu keharmonian dan kelancaran mesyuarat pertama penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di Bangunan Darul Ridzuan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau termasuk 27 ADUN PR yang lain memprotes tindakan segelintir anggota polis yang menghalang mereka memasuki pintu berhampiran DUN.

Menurutnya, mereka menerima arahan daripada Speaker DUN, Datuk R Ganesan untuk memasuki pintu berasingan dengan ADUN Barisan Nasional (BN).

“Kami bukan sahaja dihalang selama 15 minit sebelum masuk ke dewan oleh anggota polis malahan diarahkan untuk masuk ke pintu lain,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, petugas media turut menjadi mangsa apabila dihalang pihak berkuasa daripada membuat liputan perjalanan Sidang DUN itu.

Beliau mendakwa terdapat puluhan anggota polis memenuhi galeri awam berlegar-legar di kawasan berkenaan.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kebebasan media adalah salah satu asas demokrasi. Apa yang berlaku di dalam dewan harus diberitahu kepada rakyat tidak kira sama ada mereka (media) menyokong PR ataupun BN,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham mencabar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Polis Perak dan Datuk Zulkifli Abdullah berjanji supaya anggota polis tidak menghadiri Sidang DUN, hari ini.

Menurutnya, pihak PR tidak teragak-agak bertindak membuat laporan kerana menghalang perjalanan demokrasi dan melanggar undang-undang di negeri ini.

“Tidak mustahil jika sewaktu perbahasaan ada anggota polis yang tidak suka kepada kami cuba bertindak di luar batasan.

“Justeru, kita meminta supaya jaminan diberikan kepada ADUN PR supaya keselamatan kami terjamin sepanjang Sidang DUN berlangsung,” katanya.

Di samping itu, Koo Ham meminta supaya masa untuk perbahasan cukup untuk mengemukakan isu berkaitan rakyat namun mereka difahamkan hari ini agenda itu tidak akan dijalankan.

“Sepatutnya kita ikut sistem yang dilaksanakan di Parlimen di mana kedua-dua pihak berdebat sebelum satu keputusan muktamad dicapai.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya Setiausaha Dewan melakukan sesuatu terhadap kehadiran polis kerana negara kita mengamalkan Doktrin Pengasingan Kuasa dan mereka yang tidak berkaitan tidak boleh mengganggu Sidang DUN,” katanya.

Wednesday, March 24, 2010

Pejuang Yang Diuji...


'Permulaan Bagi Sebuah Kebangkitan'


Sekali terpenjara, buka bererti ianya titik permulaan bagi mengakhiri episod sebuah perjuangan. Namun kelibat 'pesalah-pesalah' yang dizalimi inilah yang akan menyemarakkan lagi teman-teman diluar sana.

Ayuh, jika ANAK sudah mula digeruni; ertinya kita sudah mula dikhuatiri. Peneroka yang sentiasa diperah keringatnya oleh penguasa-penguasa Felda sebenarnya dimonitor oleh tangan-tangan ghaib yang berlegar di Puterajaya.

Mereka bertindak ganas dengan mencengkam setiap urat nadi yang boleh mereka pergunakan. Rakyat bagaikan hamba yang saban hari menangisi dan memohon simpati tuan-tuannya.

Soalnya , sampai bila ? Kita punya kekuatan yang besar jika dihimpun dan disatukan. Bukan sahaja warga pendidik yang mampu merobek kekuatan bahtera jahiliah ini, tetapi warga peneroka juga boleh menjayakannya.

Biarlah mereka terus membadai, namun tidak salah untuk sesiapa mengingatkan mereka tentang suara keramat yang ada pada kita. Seorang yang didakwa, seratus lagi akan bangkit bersuara...

Tahniah buat al akh Mazlan Aliman. Ianya suatu permulaan untuk satu kebangkitan.


Sunday, March 21, 2010

Stadium Runtuh Bakal Menggerhanakan 'Penciptanya'...


Secara berfakta, berdalil dan berasas kenyataan MB Terengganu bahawa "Semua pihak yang terbabit dalam projek SSMZA bawa masalah" agak menarik kerana ianya hasil siasatan bebas yang dilakukan bagi menyiasat punca runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, mengumumkan laporan itu selepas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada mesyuaratnya baru-baru ini meneliti dan mengklasifikasikan semula laporan siasatan bebas (IC) setebal 60 muka kejadian itu daripada sulit kepada umum.

Sebagai menyahut seruan PM 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, MB Terengganu digesa agar mempermudahkan rakyat untuk mengetahui siapakah pihak yang dimaksudkan dalam laporan tersebut. Kita yakin tidak semua rakyat mampu memiliki laporan setebal 60 mukasurat yang akan membongkarkan isu ketelusan dan akauntebiliti di mana kos pembinaannya mencecah RM292 juta tetapi hanya mampu digunakan dalam tempuh sekitar setahun.

Rakyat berhak untuk melihat senarai tersebut didedahkan.

Monday, January 11, 2010

Rombakan Kecil PAS Kawasan Besut Ke Arah Menghadapi PRU 13

Majlis Serah Tugas Jawatan Setiausaha PAS Kawasan Besut
Ustaz Adam Mat Said (Kiri) dan Sdr. Mohd Nasir Awang

Sdr. Mohd Nasir Awang telah dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan Besut yang baru dalam usaha untuk memperkukuhkan organisasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks menjelang Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka tidak lewat dari 2012.

PAS Kawasan Besut turut melantik Ustaz Adam Mat Said (mantan Setiausaha PKB) sebagai Pengarah MTD Kota Putera bagi menggantikan Ustaz Abdul Aziz Abas yang akan memberikan fokus dan tumpuan dalam soal tarbiyah dan perkaderan.

Saya yakin pengalaman yang ada kepada Setiausaha PAS Kawasan yang baru dan Pengarah MTD Kota Putera yang baru ini akan menjana satu momentum yang boleh memperkasakan lagi gerakkerja kita di peringkat berkenaan.

Selamat berjuang untuk semua.

Wassalamu'alaikum warahmatullah.

HAJI WAN AZHAR WAN AHMAD
Yang DiPertua PAS Kawasan Besut
10 Januari 2010 / 24 Muharram 1431

Monday, December 21, 2009

Jangan Terleka Dalam Perjuangan...

Sebahagian daripada perwakilan yang menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat, 2009


Anggota PAS diingatkan agar sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi musuh menjelang PRU ke 13. Kelibat mereka ada di mana-mana. Lantas memerlukan persiapan rapi, rohani dan jasmani, minda dan semangat, iltazam dan perpaduan yang semuanya terangkum dalam bai'ah perjuangan yang disebutkan oleh Imam Syahid Hassan Al Banna.

Kita perlu hadamkan kefahaman kita terhadap rukun bai'ah. Sepuluh perkara yang dinyatakan : Faham, Ikhlas, Beramal, Berjuang bersungguh-sungguh, Pengorbanan, Taat, Tetap Pendirian Berasaskan Prinsip, Bersih Dari Fahaman Yang Menyeleweng, Persaudaraan dan Memberikan Kepercayaan menjadi asas kukuh dan teras kepada pembentukan sesebuah jamaah Islam.

Kita juga diajar untuk menghormati perjanjian. Mengkhianatinya bukanlah amalan kita meskipun ianya melibatkan golongan bukan muslim. PAS adalah wadah yang berpegang kepada janjinya kerana PAS dibentuk berteraskan agama. Kini PAS disegani kawan dan lawan. Mereka tidak mengabaikan PAS meskipun kita hanya dipinggiran. Perak lambang keyakinan manusia, meskipun berbeza agama, bangsa dan partinya namun PAS diiktiraf dan diMBkan.

Biarpun sekadar berkainpelaikat, tanpa kot dan talileher yang gah menjalar, namun keupayaan PAS menerajui Kelantan sekitar 20 tahun lamanya pastinya meleburkan rasasangsi manusia terhadap Islam. Tok Guru al Mursyidul Am menjadi idola dan kebanggaan rakyat Malaysia. Di samping Tuan Guru Presiden yang berjaya membersihkan Terengganu dari cengkaman bid'ah UMNO yang kerasukan syaitan. Kepimpinan yang sebaris dengan tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa meletekkan kepimpinan PAS dipuncak harapan.

Semuga Konvensyen Pakatan Rakyat akan menyemarakkan lagi daya juang kita... Selamat Berjuang....

Doakan Untuk Paudzi Abd Rahman di HKL...

Pauzi sedang menghubungi keluarganya di wad HKL...

Beliau terpaksa berkerusi roda sewaktu dibawa ke wad...


Sewaktu Pakatan Rakyat bersidang bagi mengambil kata sepakat sempena Konvensyen Sulongnya di Shah Alam, Selangor, saya teringat seorang teman yang terpaksa mendekam di Hospital Kuala Lumpur. Dia bukanlah seorang tokoh hebat. Bukan juga seorang pemidato. Jauh sekali untuk tersenarai di kalangan tokoh-tokoh tersohor yang dikehendaki oleh Amerika atau Yahudi. Namanya tidak segah itu.

Saya mengenalinya sewaktu dia bermusafir ke Sabah. Sekitar 15 tahun yang lalu. Dia berniaga untuk mencari sesuap rezeki bagi menanggung dan membiayai keluarganya dan perjuangannya. Dia seorang yang mudah tersenyum. Barangkali itulah sifat semulajadinya. Sekurang-kurangnya dia mampu bersedekah meskipun sekadar sekuntum senyuman hambar.

Seringkasnya untuk episod ini, saya berforum dengan al akh ustaz Ismail Dagang yang hebat berhujjah sambil berselora. Masjid yang menjadi pentas kami bagaikan terlepas pandang terhadap seorang insan yang bertubuh sasa namun agak kurang bermaya. Tenaganya dikerah untuk menjual produk yang dibawanya meski pun dia dilanda seribu kepayahan.

Dia batuk dan muntah berdarah dalam perjalanannya dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Dia berazam untuk berkhidmat bagi membawa ustaznya dengan harapan untuk berkongsi pahala, meskipun dia tidak mampu berceramah namun dia mampu membawa penceramahnya. Begitulah khidmatnya untuk Islam dan perjuangan yang diyakininya.

Selesai berforum, saya dan ustaz Ismail membawanya ke Hospotal Kuala Lumpur. Dia di X-ray dan kelihatan seperti sedikit kemusykilan di sudut paru-parunya. Doktor mencadangkan agar dia ditahan di wad. Namun setelah sedikit berbisik dengan saya, beliau meminta agar direkemenkan untuk masuk ke wad Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Beliau berjanji untuk berangkat pulang seawal pagi besoknya ke sana.

Setelah doktor menyetujuinya dengan selampir surat perakuannya, kami beredar untuk mencari sesuatu bagi mengalas perut terutamanya saudara muslim ini yang belum menjamah apa-apa menu dari siangnya. Kelihatan dia lebih puas minum dari menyuap apa yang ada. Jelas dia tidak berselera...

Kami segera ke Ibu Pejabat di Jalan Raja Laut untuk beristerihat. Waktu itu jam sekitar 3 pagi. Saya tidak pasti bila kami terlelap, namun seawal jam 4.30 pagi saya dibangunkan oleh suara yang menahan rasa sakit. Saya bergegas mengekorinya ke kamar mandi. Tersentak bila melihat dia batuk dan darah yang banyak keluar dari mulutnya...

Setelah berbincang, ustaz Ismail meminta saya segera membawanya ke HKL. Beliau terpaksa bertahan di situ kerana anak dan isterinya ada bersama. Sepanjang perjalanan saya mendengar kalimah Allah yang sentiasa membasahi bibirnya meskipun dia terpaksa berjuang untuk menghadapi segala-galanya.

Dia akhirnya ditahan di wad 27 aras 5 HKL. Dua hari di sana dia dipindahkan ke aras 3 wad 8. Saya tidak dapat pastikan masalahnya dan penyakitnya. Tetapi yang pasti dia sakit. Batuknya berdarah dalam kapasiti yang bukan sedikit. Dia juga akan ke IJN pada 4 Februari 2010. Jantungnya juga ada masalah....

Saya fikir inilah masanya untuk kita buktikan semangat solidariti kita. Memahami penderitaan sahabat dengan sedikit perkongsian. Melabuhkan tangan berdoa kehadirat Ilahi agar sahabat ini dianugerahkan kesabaran bersama anak-anaknya dan anggota keluarganya.

Tidak salah untuk kita menyumbang bagi meredakan kepayahannya yang kian terhimpit. Bukankan Islam mengajar kita erti persahabatan. Hulurkanlah kepadanya walau sekadar sebelah tamar yang telah kita gigit. Dia tidak memilih. Tetapi dia pandai berterima kasih.

Namanya : MOHD PAUDZI BIN ABDURAHMAN
No. Akaun BSN : 1110429000037363

Saya depositkan dengan artikel ini untuk teman-teman menggenapkannya. Jazakumullahu Khairan Jaza' buat al akh ustaz Ismail Dagang yang memuqaddimahkan sumbangannya buat beliau. Allahu'akbar....