Monday, May 17, 2010

PRK Sibu : Get Out BN n Welcome PR


Gambar-gambar sekitar ceramah perdana malam terakhir kempen
di Markaz PAS Kg. Hilir, Sibu, Sarawak.

Keputusan PRK Sibu yang memihak kepada Pakatan Rakyat menggambarkan satu permulaan baik untuk suatu agenda yang lebih besar; iaitu menukar kerajaan dan teraju kepimpinan negeri pada Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam tempuh tidak sampai setahun dari sekarang. Rakyat yang sekian lama menanggung derita hasil kesilapan masa lampau kini mula sedar dan bangkit dari lamunan keasyikan dunia maya yang penuh kepalsuan. Igauan buruk yang menghantui mereka jika calon BN ditolak kini dicabar secara anak jantan oleh rakyat Sibu. Hasilnya.... BN tumbang.

Semuga kesedaran yang ada akan terus berkembang. Kemenangan DAP/Pakatan Rakyat di Sibu adalah deposit awal untuk suatu pembayaran yang akan ditunaikan secara menyeluruh.... Get Out BN and Welcome PR.

Syabas buat pengundi, pelobi, petugas, penyumbang dan pimpinan Pakatan Rakyat...

Wednesday, April 28, 2010

Keadilan Untuk Aminulrasyid

Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun. Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut.

Setiba sahaja saya, qamat Salat Asr telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan. Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.

Saya kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan. Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.

Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, “dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan ‘stay low profile’. Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka. Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi “seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”

Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ. Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan. Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.

Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas. Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.
Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :-

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.
2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.
3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya. Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tuesday, April 27, 2010

Kes Pelajar Sekolah Di Tembak Polis, Lebih Ramai Pemimpin Politik Perlu Tampil Memberi Sokongan Kepada Keluarga Mangsa Yang Masih Trauma Itu!

Syabas dan tahniah kepada Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Noh Omar (foto) yang nampaknya begitu prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh pihak polis awal pagi semalam. Biarpun berbeza haluan, namun perkara yang baik seperti ini haruslah disokong oleh seluruh rakyat yang cintakan keadilan. Noh yang telah menyatakan perasaan simpati atas kejadian yang menimpa pelajar sekolah tersebut hari ini berharap agar kes tersebut disiasat dengan telus bagi mencari keadilan dan kebenaran. Beliau, selaku Menteri Pertanian Dan Asas Tani akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat kabinet esok. Beliau juga bersedia untuk memberikan bantuan guaman supaya keluarga terbabit menyaman polis dan juga Kerajaan Malaysia yang diwakili. Bahkan beliau berharap pihak keluarga mangsa juga dapat mengadu hal tersebut kepada pihak Suhakam untuk tindakan selanjutnya. Sememangnya kes ini tidak wajar untuk disensasikan dan sepatutnya apa yang dilakukan oleh Noh omar ini dicontohi dan didahului oleh pimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebenarnya. Oleh itu diharap lebih ramai pemimpin Pakatan Rakyat akan tanpil untuk membantu keluarga mangsa yang kini masih dalam trauma itu.

Sementara itu Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pula menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi jaminan bahawa siasatan kes terhadap anggotanya yang menembak mati seorang remaja 15 tahun, dijalankan dengan telus. Wakil rakyat PAS itu berkata, beliau kecewa dengan kenyataan awal pihak polis, ketika siasatan masih dijalankan, yang mendakwa remaja tersebut mungkin terlibat dalam kegiatan menyamun dan memiliki senjata, seperti yang dilaporkan media. Katanya, beliau sendiri turut menemani saksi utama kes tersebut yang bersama mangsa ketika mangsa ditembak. Beliau telah membuat laporan di balai polis Seksyen 11 jam 9.43 malam tadi. Menurut Khalid, beliau telah meminta ketua polis jamin keselamatan saksi ini dan tidak ada usaha untuk mengubah keterangannya. Khalid juga turut mengedar salinan laporan polis rakan remaja tersebut kepada pihak media. Sementara itu, dalam laporan polisnya, rakan remaja berkenaan mendakwa dia dan mangsa, telah memotong kenderaan polis dengan laju.


Wajah mangsa tembak, Allahyarham adik Aminulrasyid
Dakwanya, kereka mereka kemudiannya dikejar sebuah kenderaan MPV polis dan ditembak, mengakibatkan kereta mereka terbabas. Dalam aduannya itu, rakan remaja itu mendakwa keluar dari kereta untuk menyerah diri dan mendakwa salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang. Dia juga, dalam aduan tersebut, mendakwa anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai. Dia mendakwa meronta-ronta serta dapat melarikan diri daripada anggota polis tersebut, lalu balik ke rumah.

[Kes yang cukup menyayatkan hati dan tidak wajar berlaku sebenarnya. Anggota polis tidak harus sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada untuk melepaskan tembakan rambang terhadap mangsa yang belum disahkan sebagai penjenayah itu. Malah, mereka boleh mengejar kereta mangsa dan menahannya jika perlu tanpa menggunakan kekerasan. Kini segalanya sudah berlaku dan tindakan tatatertib yang tegas perlu dikenakan terhadap anggota polis yang telah melakukan perbuatan tersebut. Dalam hal ini, semua pemimpin politik harus bersatu hati untuk mendesak agar tindakan tegas yang telus dan adil diambil terhadap mereka yang terlibat. Usahlah dipolitikkan kes ini kerana ia berlaku dalam keadaan tidak dirancang sebenarnya. Jadikan ia sebagai pengajaran yang berguna dan semua pemimpin boleh bersatu hati dalam mana-mana kes seperti ini di masa hadapan. Tindakan Noh Omar juga amat mengejutkan, kerana selama ini pemimpin UMNO banyak mempertahankan segala tindakan yang dilakukan oleh pihak polis. Apakah kini mereka sudah sedar?


Pahangdaily



Friday, April 23, 2010

Gerakan: JPM dan Rosmah dituntut beri penjelasan.


Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow menggesa agar Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor memberi penjelasan kepada umum berhubung perletakan jawatan Joshua Wong, selaku penerbit rancangan Editor's Time, ntv7.

Teng Chang Yeow (gambar kiri) berkata, ketika mengulas sebab dan kronologi perletakan jawatan dalam sidang media semalam, Joshua Wong telah mengaitkan tiga pihak, iaitu pihak atasan ntv7, JPM dan isteri PM Rosmah Mansor. Oleh itu, ketiga-tiga pihak ini harus memberi penjelasan kepada rakyat umum.

Demikianlah gesaan dalam kenyataan Teng Chang Yeow ketika mengulas isu perletakan jawatan Penerbit Buletin dan Isu Semasa ntv7, Joshua Wong semalam. Joshua tidak berpuas hati apabila pihak atasan ntv7 tunduk kepada aduan daripada JPM dan isteri PM Rosmah Mansor, menurutnya. 【Penerbit letak jawatan, dedah ntv7 menerima aduan Rosmah】

Teng Chang Yeow membantah sekeras-kerasnya campur tangan politik ke dalam media. Teng Chang Yeow, juga salah seorang panelis yang diundang ketika rancangan Editor's Time dirakamkan di Pulau Pinang, tampil ke depan untuk menyangkal tuduhan dalam "sms", bahawa rancangan ini berbau perkauman.

"Rancangan ini menyediakan satu platform supaya pihak pemerintah dan pembangkang boleh menyuarakan pandangan masing-masing. Saya menganggap rancangan ini sebagai satu rancangan yang kritis," katanya.

Sumber

Pindah pengundi...Agenda licik siapa?


Kalau ya SPR pindah hanya 10,000 pengundi sahaja, tapi kenapa ianya dibuat secara diam-diam sahaja. Perkara ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk. Jika SPR melakukan pemindahan pengundi ke pusat pengundian baru tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri dan tanpa diberitahu kepada calon yang bertanding, mungkin ada kekeliruan yang boleh timbul.

Apakah ada udang di sebalik batu atas tindakan SPR itu? Alih pusat pengundian pengundi, SPR kata nak senangkan pengundi keluar mengundi, tapi kenapa tidak diberitahu kepada pengundi.

Apakah ini lagi menyulitkan pengundi akan pusat pengundian mereka? Kenapa harus sekarang pemindahan itu dibuat? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan itu dilihat cubaan untuk memenangkan calon BN dalam PRK itu nanti?

Calon PR, Dato` Zaid Ibrahim pula berkata, ramai pengundi yang datang mendampingi beliau ketika berkempen dengan mengadu nama mereka telah dipindahkan dari senarai daftar mengundi.

"Ini satu perlanggaran hak asasi manusia", kata beliau.

"Dan, saya tidak hanya menyalahkan SPR atas masalah ini. Saya juga menyalahkan perdana menteri", kata beliau sambil mendesak suruhanjaya itu menjelaskan mengapa pengundi-pengundi ini dipindahkan ke pusat pengundian lain sedang mereka mengundi di kawasan lama pada 2008.

"SPR telah mengetepikan isu (yang dibawa Pakatan ini), malah SPR meminta agar kami tidak mempolitikkan isu ini", katanya.

Soal beliau, bagaimana SPR boleh melakukan perkara ini tanpa memaklumkan pengundi dan parti pembangkang.

"Adakah ini caranya kita menguruskan negara dan mengendalikan pilihan raya?", kata Zaid.

Senarai yang dikeluarkan PKR semalam menunjukkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, tiga pusat pengundian terlibat dalam pemindahan iaitu dari SK Hulu Bernam ke Sekolah Rendah Agama Hulu Bernama dengan pengundi seramai 33 orang, dari SMK Kalumpang ke Sekolah Rendah Agama Kalumpang (219) dan dari Sekolah Rendah Hulu Bernama ke SK Hulu Bernama (Ladang Ascot) (1,084).

Dalam pada itu, di DUN Kuala Kubu Baru juga melibatkan tiga pusat iaitu dari SRJK (Tamil) Kuala Kubu Baru ke SMK Datuk Hj Kamaruddin dengan 2,824 pengundi, dari SK Kerling dipindahkan ke SJKT (Tamil) Ladang Kerling (39) dan dari Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).

Empat pusat terlibat dalam DUN Batang Kali iaitu dari SK Serendah dipindahkan ke SRJK (Cina) Serendah (752), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Serendah (1,898), dari SRJK (Cina) Serendah dipindahkan ke SK Serendah (905) dan dari SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,266).

Menurut senarai itu pusat mengundi baru yang diwujudkan ialah Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya yang menempatkan 1,350 pengundi dari SK Taman Bunga Raya, SK Bukit Beruntung (589) dan SJK (Tamil) Sungai Choh Taman Bunga (304).

Seramai 233 pengundi dari SK Sungai Choh dalam daerah mengundi Kampung Tanjung telah dipindahkan ke bahagian Parlimen Selayang.

Tuesday, April 20, 2010

Pengalaman bekerja dengan Datuk Zaid

Merujuk kepada perkara diatas, saya pernah bekerja dengan Datuk Zaid di Yayasan Pemulihan Orang Cacat Kelantan (YPOCK) pada tahun 2000 - 2001.

Sekarang saya dengar nama Yayasan itu telah bertukar. Semasa itu saya adalah Ahli Fisioterapi yang di gajikan oleh Datuk Zaid untuk merawat kes-kes seperti 'Down Syndrome', 'Cerebral Palsy ', 'Hemiplegia', 'Poliomyelitis' dan lain-lain.

Antara tugasan saya ialah mendaftarkan semua orang cacat tidak kira cacat anggota, pekak dan bisu, buta dan membantu mereka untuk didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk membantu mereka ini kami menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah mereka (berserta dengan pembantu untuk mengangkat/memimpin/menyediakan kerusi roda) ke pejabat JKM dan seterusnya dari JKM pulang ke rumah mereka tanpa sebarang bayaran.

YPOCK juga mempunyai rekod semua klien dari segi butiran peribadi dan status kewangan mereka. Saya masih ingat menerima arahan dari Datin Suliana (isteri Datuk Zaid) untuk menyampaikan wang zakat dan derma untuk klien YPOCK yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian zakat dan derma yang di sempurnakan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Saya beserta warga kerja YPOCK yang lain seperti En Ishak, Kak Bibah, Hazizul (dan lain-lain yang saya tidak dapat ingat nama mereka) pergi kerumah klien YPOCK untuk menyampaikan derma dan zakat, bukan sahaja di Kota Bahru, adakalanya sampai ke jajahan Tumpat.

YPOCK semasa itu merupakan payung kepada semua persatuan orang cacat lain di Kelantan. Banyak aktiviti dilakukan di bangunan YPOCK. Antaranya kelas komputer untuk orang-orang cacat, latihan angkat berat dan jasmani untuk atlet OKU yang akan mewakili Kelantan di Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Aktiviti teras YPOCK adalah untuk memberi rawatan fisioterapi kepada klien yang berdaftar dengan Yayasan. YPOCK mempunyai peralatan yang mencukupi untuk merawat klien. Ini termasuk 'horse riding therapy' untuk kanak-kanak 'Cerebral Palsy ' yang tiada keseimbangan badan. Rawatan ini diberikan di 'horse farm' di belakang bangunan YPOCK.

Sebenarnya rawatan jenis ini pun tiada di hospital kerajaan. Alangkah bertuahnya klien YPOCK kerana semua rawatan diberi secara percuma. Yang tiada kemudahan pengangkutan juga diberi kemudahan pengangkutan secara percuma.

Apa yang saya dedahkan diatas adalah benar belaka. Bangunan YPOCK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu dirasmikan oleh Tun Abdullah Badawi sekitar tahun 1999. YPOCK pernah menerima Lawatan dari Tun Siti Hasmah (isteri Tun Dr Mahathir) dan Datuk Dr Siti Zaharah, mantan Menteri Kebajikan Masyarakat.

Apa yang saya nyatakan bukan untuk kempen Datuk Zaid tetapi menyatakan kebenaran apa yang Datuk Zaid pernah lakukan untuk masyarakat cacat yang mana lapisan masyarakat ini pada hakikatnya selalu dipinggirkan dan dipandang hina.

Lihat sahaja bagaimana P.Ramlee pernah menggambarkan penghinaan pada OKU dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'. Tetapi Datuk Zaid telah mencurahkan bakti ini bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor malah telah melakukanya lebih dari 10 tahun yang lalu.

Saya sedih dengan serangan peribadi yang memburukan Datuk Zaid. Tetapi lupakah kita bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun? Semuga Allah SWT mengampunkan kita semua.

Sekian. Terima kasih.

Mohamed Nor bin Salim
Perunding Fisioterapi YPOCK 2001

surat pembaca
harakahdaily